TANJONG MALIM, 22 September — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Jabatan Bahasa Etnik, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, dengan kerjasama mahasiswa Diploma Bahasa Etnik (E261), hari ini menganjurkan ETHNOSPHERE 2: Simposium Bahasa Etnik Kali Ke-2 di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Program dua hari bertemakan “Pewaris Ilmu, Pengikat Warisan, Pemacu Perpaduan” itu berlangsung mulai 21 hingga 22 September 2026, dengan tumpuan kepada tiga bahasa etnik utama yang ditawarkan oleh Jabatan Bahasa Etnik iaitu Bahasa Kadazandusun, Bahasa Iban dan Bahasa Semai. Simposium turut disertai kira kira 76 pelajar Diploma Bahasa Etnik, 30 pelajar orang asli dan 2 guru dari SMK Slim, Perak, serta 10 pensyarah Jabatan Bahasa Etnik.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Profesor Madya Dr Mazura @ Mastura binti Muhamad, yang dalam ucapannya menegaskan bahawa bahasa etnik merupakan khazanah penting yang mencerminkan identiti, sejarah dan budaya sesebuah masyarakat. Beliau turut menyifatkan kepelbagaian bahasa di Malaysia bukan sebagai penghalang kepada perpaduan, sebaliknya sebagai kekayaan yang wajar dihargai, dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.

“Saya berharap agar program ini bukan sekadar menjadi ruang perbincangan akademik, tetapi turut menjadi platform untuk kita bersama sama memikirkan usaha yang lebih berkesan dalam memastikan bahasa etnik terus hidup dan digunakan dalam masyarakat,” ujar beliau ketika merasmikan simposium tersebut.

Sesi ucap utama pula disampaikan oleh Profesor Adjung UiTM, YBhg Datuk Suhaimi Sulaiman, bertajuk “Dari Warisan ke Industri: Membina Generasi Komunikator Bahasa Etnik Masa Depan”. Berbekalkan pengalaman 36 tahun dalam bidang media, komunikasi dan kepimpinan, Datuk Suhaimi menyeru para pelajar supaya tidak sekadar memelihara bahasa etnik, tetapi menghidupkannya melalui penggunaan aktif dalam media, perniagaan, pendidikan, industri kreatif dan dunia digital.

Beliau turut menggesa pelajar menjadikan penguasaan bahasa etnik sebagai kelebihan kompetitif berbanding satu kekurangan, memandangkan bilangan penutur yang mampu menghasilkan kandungan berkualiti dalam Bahasa Iban, Kadazandusun atau Semai jauh lebih terhad berbanding Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. “Scarcity creates value. Apa yang tidak ramai orang boleh lakukan, itulah yang menjadi bernilai,” katanya, sambil menyarankan pelajar membina empat keupayaan utama iaitu bercakap, menulis, mencipta kandungan dan memanfaatkan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).

Sementara itu, Pengarah Program ETHNOSPHERE 2, Smeagol Ivan Ujan Anak Suhaili, yang juga pelajar Diploma Bahasa Etnik, menegaskan bahawa penganjuran simposium turut menjadi ruang sebenar buat pelajar belajar bekerja berpasukan dan menguruskan program yang melibatkan pelbagai pihak. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli jawatankuasa pelaksana atas komitmen menjayakan program.

Selain sesi perasmian dan ucap utama, program pada hari kedua turut diisi dengan persembahan kebudayaan, penyampaian sijil dan hadiah, serta lawatan pameran yang memaparkan hasil kajian dan aktiviti pelajar Diploma Bahasa Etnik.

Simposium ini dilihat sebagai usaha berterusan UPSI, khususnya Jabatan Bahasa Etnik, dalam memperkukuh kedudukan bahasa dan budaya etnik sebagai sebahagian daripada warisan linguistik negara, sekali gus memberi ruang kepada pelajar Diploma Bahasa Etnik untuk terlibat secara aktif dalam pengurusan dan pelaksanaan program akademik.