oleh : Nur Faezah Armiza Musnaili

TANJONG MALIM, 20 Ogos 2026 – Kepimpinan mahasiswa bukan sekadar kebolehan mengetuai organisasi malah memerlukan kecekapan ketelitian dalam protokol, mengurus kewangan serta kebijaksanaan mengendalikan emosi dan hubungan interpersonal.

Bengkel Kewangan, Protokol dan Kaunseling ini diadakan di Bilik Seminar Blok 9, Fakulti Pembangunan Manusia bermula jam 8.00 pagi sehingga 4.30 petang.

Bengkel ini menjadi platform kepada peserta untuk memperkukuh pengetahuan dan kemahiran melalui tiga slot utama iaitu kewangan, protokol dan kaunseling.

Ketiga-tiga elemen ini memainkan peranan penting dalam memastikan mahasiswa bukan sahaja mampu mengurus organisasi dengan baik malah dapat melaksanakan amanah secara profesional, berintegriti dan beretika.

Slot Protokol memberi fokus kepada pendedahan dan pemahaman peserta mengenai tatacara pengendalian majlis rasmi yang betul, teratur dan profesional.

Slot 1: Slot Kewangan oleh Encik Mohd Raizol bin Ramli
Slot 2: Slot Kewangan oleh Puan Nor Haslina binti Mokhtar
Slot 3: Slot Kaunseling oleh Dr. Pau Kee

Melalui slot ini, peserta didedahkan kepada aspek penting seperti susunan perjalanan majlis, etika berurusan dengan tetamu kehormat, tatacara sambutan serta penggunaan komunikasi yang sesuai dalam situasi rasmi.

Selain itu, peserta turut diberikan penekanan mengenai kepentingan ketelitian dalam setiap aspek pengurusan majlis termasuk persediaan sebelum, semasa dan selepas sesuatu program berlangsung.

Secara keseluruhannya, slot ini membantu peserta memahami bahawa pengurusan protokol yang baik bukan sahaja memastikan perjalanan program lebih tersusun dan lancar, malah turut mencerminkan tahap profesionalisme serta memberikan imej yang positif terhadap sesebuah organisasi.

Menerusi Slot Kewangan, peserta didedahkan kepada kaedah penyediaan bajet serta penyediaan kertas kerja bahagian kewangan secara sistematik dan teratur.

Slot ini turut memberi penekanan terhadap aspek ketelusan, akauntabiliti dan tanggungjawab dalam mengurus sumber kewangan organisasi agar setiap perbelanjaan dapat direkod serta dikawal dengan baik.

Selain itu, peserta diberikan pemahaman tentang kepentingan merancang kewangan berdasarkan keperluan sebenar dan perjalanan sesuatu program bagi mengelakkan pembaziran serta perbelanjaan yang tidak diperlukan. Secara tidak langsung, kemahiran ini dapat meningkatkan kecekapan peserta dalam mengurus kewangan program dengan lebih sistematik, telus dan bertanggungjawab.

Slot Kaunseling pula membuka ruang kepada peserta untuk memahami kepentingan menjaga kesejahteraan mental dan emosi dengan lebih baik. Melalui slot ini, peserta didedahkan kepada beberapa aspek penting seperti pengurusan stres, komunikasi berkesan, penyelesaian konflik, pembinaan keyakinan diri serta kemahiran dalam membina hubungan interpersonal yang positif.

Peserta juga diberikan pendedahan tentang cara mengawal emosi dan menangani tekanan dengan lebih matang terutamanya apabila berhadapan dengan pelbagai cabaran serta situasi yang memerlukan pertimbangan yang rasional. Pendedahan melalui slot ini diharapkan dapat membantu peserta menjadi individu yang lebih berdaya tahan, yakin dan mampu mewujudkan hubungan yang harmoni dalam sesebuah organisasi.


Penganjuran bengkel ini membuktikan bahawa kepimpinan berkualiti terbina melalui keseimbangan antara ilmu, kemahiran dan kesejahteraan diri. Dengan kewangan yang diurus secara telus, protokol yang dilaksanakan dengan tertib serta emosi yang stabil, peserta diharapkan mampu menjadi barisan pemimpin mahasiswa yang lebih cekap, matang dan berintegriti.

Bengkel ini bukan sekadar ruang menimba ilmu tetapi menjadi langkah dalam membentuk generasi pemimpin yang bersedia memimpin, cekap mengurus dan teguh menghadapi cabaran.