Oleh: Ishathika & Nurfatiesha

TANJONG MALIM, 25 Julai 2026 – Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Bengkel KPI MMKHAR: “Aetheris Membina Legasi, Menggegar Generasi” bertempat di Dewan Harun Aminurrashid.

Bengkel ini bertujuan memperkukuh pengetahuan dan kemahiran barisan kepimpinan MMKHAR dalam aspek pengurusan program, kewangan, logistik serta perancangan strategik bagi memastikan setiap aktiviti yang dilaksanakan lebih sistematik, berimpak tinggi dan memberi manfaat kepada seluruh warga kolej.

Program dimulakan dengan ketibaan pihak pentadbiran kolej, para felo dan barisan Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR). Seterusnya, majlis diteruskan dengan bacaan doa dan ucapan aluan oleh Yang Dipertua MMKHAR Sidang 2026/2027 sebagai simbolik pembukaan rasmi bengkel. Suasana yang penuh semangat jelas mencerminkan komitmen peserta dalam mempersiapkan diri sebagai pemimpin mahasiswa yang lebih berkualiti.

Slot pertama telah disampaikan oleh Encik Ahmad Amzar bin Mohd Anuarul Azhar, memberi perkongsian tentang pengenalan program high impact dan kluster program. Seterusnya, slot taklimat hala tuju MMK UPSI 2026/2027 dan taklimat Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2026 yang disampaikan oleh Puan Suriati binti Ismail. Melalui sesi ini, peserta didedahkan dengan kaedah merancang program yang lebih tersusun, memenuhi keperluan mahasiswa serta selari dengan objektif pembangunan kolej dan universiti.

Sesi diteruskan dengan perkongsian oleh Puan Hazreena Bebe binti Mohamed Yusof mengenai pengurusan kewangan program. Peserta diberi penerangan berkaitan penyediaan bajet, kawalan perbelanjaan serta kepentingan pengurusan kewangan yang telus dan berintegriti dalam memastikan kelancaran pelaksanaan sesuatu program.

Seterusnya, Encik Muhammad Shamsul bin Hishamsudin berkongsi panduan berkaitan pengurusan logistik dan prosedur peminjaman peralatan. Slot ini memberi penekanan terhadap kepentingan penyelarasan logistik yang cekap bagi memastikan setiap program dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, selamat dan berkesan.

Program diteruskan dengan amanat daripada Pengetua Kolej Harun Aminurrashid yang menyentuh mengenai hala tuju kolej serta harapan terhadap barisan kepimpinan MMKHAR bagi sidang 2026/2027. Sesi kemudiannya diteruskan dengan aktiviti brainstorming bersama para felo penasihat yang memberi ruang kepada peserta untuk berkongsi idea, pandangan serta cadangan dalam merancang program-program yang lebih berkualiti dan berimpak kepada warga kolej.

Setiap Exco Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) telah membentangkan perancangan program masing-masing bagi Semester 1 Sesi 2026/2027. Pembentangan ini turut mendapat maklum balas, teguran membina serta cadangan penambahbaikan daripada Pengetua, pihak pentadbiran dan para felo bagi memastikan setiap program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, berkesan dan mencapai objektif yang ditetapkan. Maklum balas yang diterima menjadi panduan kepada setiap exco untuk menambah baik perancangan agar pelaksanaan program lebih berkualiti, sistematik dan memberi impak kepada warga kolej.



Bengkel diakhiri dengan sesi fotografi sebagai kenangan bersama sebelum para peserta menikmati makan tengah hari. Penganjuran Bengkel KPI MMKHAR ini diharapkan dapat melahirkan barisan kepimpinan mahasiswa yang lebih berpengetahuan, berdaya saing serta mampu merancang dan melaksanakan program yang berkualiti demi kebajikan dan pembangunan warga Kolej Harun Aminurrashid. Bengkel ini juga menjadi platform penting dalam memperkukuhkan kerjasama, komunikasi dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan ahli Majlis Mahasiswa.