Oleh: Hafiz Abd Manap
Tanjong Malim – Kolej Ungku Omar (KUO), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukuhkan reputasinya sebagai kolej kediaman yang melahirkan mahasiswa cemerlang apabila berjaya merangkul lima anugerah berprestij sempena Anugerah Tokoh Siswa (ATS) UPSI 2025 yang berlangsung di Dewan Sultan Abdul Jalil Shah (SITC), UPSI.
Majlis penuh gilang-gemilang itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Yang Berbahagia Dato’ Seri Abdul Puhat bin Mat Nayan, yang turut menyampaikan anugerah kepada para penerima sebagai tanda penghargaan terhadap kecemerlangan mahasiswa UPSI dalam bidang kepimpinan, inovasi, kesukarelawanan, sukan, seni dan pembangunan sahsiah.



Kejayaan Kolej Ungku Omar membawa pulang lima anugerah merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan dan mencerminkan kecemerlangan mahasiswa dalam pelbagai bidang. Pencapaian ini juga membuktikan keberkesanan ekosistem pembangunan mahasiswa yang diterapkan di KUO dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing serta mampu memberikan impak kepada universiti dan masyarakat.
Lima anugerah yang berjaya dirangkul oleh Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar ialah:
- Anugerah Sinergi Kepimpinan Siswa 2025 – Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang 2024/2025
- Anugerah Tokoh Daya Usaha Inovasi Siswa 2025 – Nursafika binti Amat
- Anugerah Tokoh Sukan dan Rekreasi Siswa 2025 – Mohammad Qualid Mansah bin Razman
- Anugerah Tokoh Seni dan Warisan Siswa 2025 – Darwisyah Afrina binti Kamarul Anuar
- Anugerah Tokoh Sukarelawan Siswa UPSI 2025 – Syrelyn Anak Misol
Antara kejayaan yang paling membanggakan ialah penerimaan Anugerah Sinergi Kepimpinan Siswa 2025 oleh Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang 2024/2025. Anugerah ini diberikan kepada badan kepimpinan pelajar yang aktif, progresif dan cemerlang dalam melaksanakan pelbagai program serta inisiatif yang memberi impak besar terhadap pembangunan sahsiah, kepimpinan dan kesejahteraan mahasiswa. Pengiktirafan ini mencerminkan keupayaan MMK Kolej Ungku Omar membudayakan kepimpinan yang inklusif, berorientasikan perkhidmatan serta sentiasa mengutamakan kebajikan dan pembangunan holistik warga kolej. Kejayaan ini turut menjadi bukti bahawa budaya kerja berpasukan, komitmen yang tinggi dan semangat kebersamaan dalam kalangan barisan kepimpinan MMK telah berjaya menghasilkan impak positif kepada komuniti kolej dan universiti secara keseluruhannya.
Selain kejayaan badan kepimpinan pelajar, empat lagi anugerah individu yang diterima turut membuktikan kecemerlangan mahasiswa Kolej Ungku Omar dalam pelbagai bidang. Pengiktirafan kepada tokoh inovasi, sukan, seni dan warisan serta kesukarelawanan mencerminkan bahawa mahasiswa KUO bukan sahaja menyerlah dalam pencapaian akademik, malah aktif menyumbang idea, bakat dan khidmat kepada universiti serta masyarakat.


Kejayaan ini merupakan hasil komitmen berterusan pihak pengurusan kolej, barisan felo, Majlis Mahasiswa Kolej, alumni dan seluruh warga Kolej Ungku Omar dalam membina persekitaran yang kondusif bagi melahirkan mahasiswa berdaya saing, berintegriti dan berjiwa masyarakat selaras dengan aspirasi nilai-nilai BITARA UPSI.
Mengulas mengenai pencapaian tersebut, Prof. Dr. Mohd Nizam Nasrifan, Pengetua Kolej Ungku Omar menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil kesungguhan seluruh warga kolej dalam membina budaya kecemerlangan yang mampan.
“Lima anugerah yang diraih pada Anugerah Tokoh Siswa UPSI 2025 bukan sekadar suatu pengiktirafan, tetapi menjadi manifestasi kepada budaya kecemerlangan, semangat kebersamaan dan komitmen tinggi yang sentiasa diterapkan di Kolej Ungku Omar. Saya amat berbangga dengan pencapaian mahasiswa kita yang berjaya membuktikan bahawa mereka bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu memimpin, berinovasi, berbakti kepada masyarakat dan mengharumkan nama universiti. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga KUO untuk terus melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.”ujar beliau.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan kepada pembangunan mahasiswa, termasuk barisan felo, kakitangan, alumni, rakan strategik serta seluruh warga kolej yang bersama-sama menyumbang kepada kejayaan ini.
Kejayaan pada Anugerah Tokoh Siswa UPSI 2025 ini diharapkan menjadi pemangkin kepada seluruh warga Kolej Ungku Omar untuk terus memperkukuh budaya kecemerlangan, melahirkan lebih ramai mahasiswa yang berintegriti, berdaya saing dan berimpak, sekali gus mengangkat nama Kolej Ungku Omar serta Universiti Pendidikan Sultan Idris di peringkat nasional dan antarabangsa.
Tahniah diucapkan kepada Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar Sidang 2024/2025 serta semua penerima Anugerah Tokoh Siswa UPSI 2025 atas kejayaan yang membanggakan. Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada seluruh mahasiswa untuk terus memimpin dengan hikmah, berbakti dengan ikhlas dan melakar lebih banyak kecemerlangan demi agama, bangsa dan negara.

