Perasmi serta barisan pengurusan kolej bergambar bersama pemimpin kolej kediaman UPSIPerasmi serta barisan pengurusan kolej bergambar bersama pemimpin kolej kediaman UPSI

Oleh: Hafiz Abd Manap

TANJONG MALIM, 29 Julai 2026 – Seramai 223 orang Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) daripada tujuh kolej kediaman dan Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menamatkan Kem Pengukuhan Majlis Mahasiswa Kolej (PEMAKSI) 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 hingga 29 Julai 2026 di Dewan KHAR, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS).

Bertemakan “Kukuhkan Perpaduan, Lahirkan Pemimpin Berwawasan”, program anjuran Kolej Ungku Omar dengan kerjasama Majlis Pengetua ini bertujuan membentuk barisan kepimpinan mahasiswa yang berintegriti, berdaya saing serta memiliki kemahiran kepimpinan yang relevan dalam mendepani cabaran pendidikan tinggi dan masyarakat masa kini.

Lafaz ikrar diketuai oleh Pengerusi Majlis YDP Kolej Kediaman UPSI, saudara Hafiz Saffar dari KUO
Kehadiran staf dan felo pada majlis watikah pelantikan MMK UPSI

Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti lapan modul Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang dirangka secara komprehensif merangkumi pembentukan identiti pemimpin, kepimpinan berintegriti, pemimpin mahasiswa dalam era Generasi Z, strategi dan perancangan organisasi, pembinaan pasukan, pengurusan krisis dan konflik, amanah kepimpinan serta pembangunan pemimpin masa hadapan. Kesemua modul dikendalikan oleh wakil kolej kediaman dan UKLK yang berperanan sebagai fasilitator bagi memastikan perkongsian pengalaman serta amalan terbaik dapat disampaikan secara efektif.

Selain pengisian berbentuk latihan dan perbincangan, peserta turut didedahkan dengan aktiviti riadah, eksplorasi kepimpinan dan sesi refleksi yang memberi penekanan kepada nilai kerjasama, komunikasi berkesan, pemikiran strategik serta kreativiti dalam menyelesaikan isu-isu berkaitan kepimpinan mahasiswa.

Kemuncak program berlangsung pada hari ketiga menerusi Majlis Watikah Pelantikan Majlis Mahasiswa Kolej Kediaman UPSI Sesi 2026/2027, yang telah disempurnakan oleh Profesor Dr. Mohd Izwan Shahril, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, mewakili Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU).

Dalam ucapan perasmian, Mohd Izwan Shahril menzahirkan keyakinan bahawa barisan kepimpinan baharu Majlis Mahasiswa Kolej mampu memainkan peranan sebagai rakan strategik universiti dalam memperkasakan agenda pembangunan mahasiswa. Beliau turut menyeru agar setiap pemimpin sentiasa mengutamakan integriti, profesionalisme dan semangat perpaduan dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan, selain menjadi contoh teladan kepada seluruh warga kolej kediaman.

Prof. Mohd Izwan Shahril menyampaikan sijil watikah pelantikan kepada salah seorang YDP kolej
Perasmi bersama semua Pengetua Kolej Kediaman UPSI

Majlis watikah tersebut secara rasmi mengesahkan pelantikan barisan Majlis Mahasiswa Kolej bagi sesi 2026/2027 sebagai pemimpin pelajar yang akan menerajui pelbagai inisiatif pembangunan sahsiah, kebajikan, akademik dan kepimpinan di kolej masing-masing.

PEMAKSI 2026 bukan sahaja menjadi platform pengukuhan kompetensi kepimpinan, malah berjaya menghimpunkan pemimpin mahasiswa daripada pelbagai kolej dalam satu ekosistem yang menggalakkan perkongsian idea, jaringan kerjasama serta pembinaan semangat kekitaan. Program ini turut memperkukuh aspirasi UPSI dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah memiliki nilai kepimpinan, integriti dan jati diri yang tinggi selaras dengan slogan “Kukuhkan Perpaduan, Lahirkan Pemimpin Berwawasan.”