Oleh: Muhammad Ammar Firdaus
TANJONG MALIM, 23 Julai 2026 – Dewan Kolej Za’ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bergema dengan sorakan dan suasana penuh gemilang dengan peserta seramai 150 orang pada malam Selasa lalu sempena penganjuran Majlis Apresiasi Acrux: Simfoni Prestij Kolej Aminuddin Baki (KAB).
Berkonsepkan tema “Hikayat Melayu dan Nusantara”, acara yang bermula seawal jam 9.00 malam itu bukan sekadar sebuah majlis keraian, sebaliknya merupakan platform rasmi penyerahan amanah kepada barisan kepimpinan baharu Majlis Mahasiswa Kolej (MMK).
Membawa hasrat besar untuk terus “Merangkul Kejuaraan AKK”, majlis ini telah disusun atur dengan begitu teliti. Di bawah pengurusan pentas dan lantai yang efisien, kelancaran program memperlihatkan tahap profesionalisme yang tinggi dalam kalangan jawatankuasa pelaksana, bersesuaian dengan matlamat kolej untuk melahirkan pemimpin mahasiswa yang berintegriti.



Lebih menarik lagi, majlis pada malam tersebut turut diserikan dengan nilai estetika yang tinggi pada paparan rekaan susun atur visual, animasi logo, serta grafik pergerakan (motion graphics) sewaktu tayangan montaj.
Kesepaduan elemen visual interaktif yang dipertontonkan di skrin utama ini bersinergi baik dengan nuansa tema, menaikkan lagi seri prestij acara sambil membangkitkan emosi nostalgia buat kepimpinan MMK Sidang 25/26.
Tepat jam 9.30 malam, majlis mencatat sejarah baharu apabila transisi kepimpinan disempurnakan menerusi acara penyerahan portfolio dan watikah pelantikan. Kemuncak segmen ini adalah lafaz ikrar oleh barisan MMK Sidang 26/27, yang menjadi simbolik kesediaan mereka memikul mandat berat dalam mengemudi kebajikan mahasiswa kolej.
Selain protokol rasmi, majlis apresiasi ini turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan yang menepati cita rasa tradisi dan kenusantaraan. Pembukaan persembahan oleh Kumpulan Silat KAB menyuntik elemen kependekaran, manakala penampilan artis dan bakat siswa seperti Naigel Uno, kumpulan Sempulang Gana, serta persembahan penutup oleh Najak memastikan para hadirin terhibur sepanjang malam.
Kemuncak majlis adalah penyampaian fasa anugerah kepada individu dan kumpulan yang telah mempamerkan kecemerlangan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. Antara penganugerahan utama yang disampaikan termasuklah Exco Terbaik, Majlis Tertinggi (MT) Terbaik, serta Anugerah Program Terbaik yang menjadi simbol pengiktirafan atas penganjuran aktiviti berimpak tinggi. Turut disampaikan adalah Penghargaan Pentadbiran danPenghargaan Felo sebagai tanda apresiasi atas sokongan tidak berbelah bahagi buat barisan kepimpinan.
Secara tuntasnya, Simfoni Prestij KAB telah berjaya mencapai objektif utamanya. Ia bukan sekadar satu penutup babak bagi sidang yang lepas, tetapi merupakan sebuah titik mula yang memberangsangkan bagi kepimpinan baharu. Harapan seluruh warga KAB kini diletakkan di bahu MMK Sidang 26/27 untuk terus mengekalkan legasi kecemerlangan danmemastikan kejuaraan Anugerah Kepimpinan Kolej (AKK) terus berada dalam genggaman.

