Oleh: Ts. Dr. Afiq Radzwan, ChM. Dr. Maizatul Najwa Jajuli, Dr. Suzaliza Mustafar, ChM Dr. Siti Nur Akmar binti Mohd Yazid
Tanjong Malim, 25 Februari 2025 – Pusat Nano UPSI dengan kerjasama Unit 4P FSM telah menganjurkan Program Wacana Ilmu bertajuk “Jejak Penyelidikan: Menjulang Ilmu, Mencipta Inovasi”.
Program ini berlangsung di Bilik Seminar FSM dari jam 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari dan dihadiri oleh pensyarah serta pelajar pascasiswazah UPSI.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah, menandakan komitmen UPSI dalam memperkasa budaya penyelidikan dan inovasi.

Turut hadir dalam program ini ialah Timbalan Dekan Penyelidikan FSM, ChM Dr. Noorshida Mohd Ali, serta Ketua Jabatan Fizik, Dr. Muhd Faudzi Umar, yang memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif pembangunan ilmu ini.
Prof. Dr. Mohamad Azwani Shah Bin Mat Lazim turut hadir sebagai tetamu kehormat, menambah lagi kemeriahan dan prestij program ini.
Wacana ilmu ini menampilkan Prof. Emeritus Dr. Bohari M. Yamin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai penceramah utama.
Beliau merupakan seorang Profesor Pelawat di University of Oxford dan tokoh akademik yang disegani dalam bidang penyelidikan sains dan inovasi.

Dengan pengalaman luas dalam dunia akademik, beliau telah menerbitkan lebih daripada 300 karya dalam bentuk prosiding dan buku, menjadikannya antara penyelidik yang aktif dalam penerbitan ilmiah.
Selain itu, Prof. Emeritus Dr. Bohari M. Yamin telah diiktiraf sebagai salah seorang saintis terbaik dunia, tersenarai dalam 2% saintis teratas global.
Sesi yang dimoderatorkan oleh Dr. Yusnita Juahir ini berjalan dengan penuh interaktif dan berinformasi. Prof. Emeritus Dr. Bohari M. Yamin berkongsi pengalaman serta perjalanan penyelidikannya yang cemerlang.
Beliau menekankan kepentingan inovasi dalam memperkasa bidang penyelidikan serta cabaran yang dihadapi oleh penyelidik dalam meneroka ilmu baharu.
Beliau turut mengingatkan agar semua ahli akademik berani dalam menegakkan kebenaran dan menjaga integriti. Ini kerana terdapat beberapa isu yang timbul dalam dunia akademik seperti penguguran makalah, manipulasi data dan masalah penyeliaan pelajar.
Para peserta turut berpeluang mengajukan soalan dan mendapatkan pandangan beliau mengenai kaedah terbaik untuk meningkatkan kualiti penyelidikan serta penerbitan akademik.
Beliau berkongsi statistik penerbitan dalam SCOPUS bagi universiti- universiti di Malaysia dan Indonesia. Trend menunjukkan Universiti Sains Malaysia dan Universitas Indonesia mencatatkan jumlah penerbitan tertinggi dalam SCOPUS dengan peningkatan penerbitan sebanyak 15% dan 10.37% masing-masing.
Perkongsian Prof. Emeritus Dr. Bohari M. Yamin telah memberi inspirasi kepada para hadirin, malah turut membuka peluang untuk kolaborasi penyelidikan antara akademia dalam pelbagai disiplin.
Semoga inisiatif sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkasakan budaya ilmu dan inovasi di UPSI.
