Oleh: Ahmad Daniel Syah bin Ahmad Effendi

Tanjong Malim, 18 April 2025 – Kelab UPSI Global Buddies sesi 2024/2025 dengan kerjasama erat International, Mobility and Advanced Education Centre (IMAC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah berjaya menganjurkan International Open House 2025: Eid al-Fitr Celebration with International Students, sebuah majlis penuh warna-warni yang memperlihatkan semangat perpaduan dan kemeriahan sambutan Aidilfitri dalam kalangan pelajar antarabangsa.

Bertemakan “#EidWithLocalsLah!”, penganjuran majlis ini bertujuan menyemarakkan sambutan Aidilfitri dalam kalangan komuniti pelajar antarabangsa UPSI, khususnya mereka yang tidak berkesempatan untuk pulang ke negara asal masing-masing.

Majlis ini bukan sahaja menyajikan pelbagai hidangan tradisional Malaysia, malah turut menjadi wadah mempererat ukhuwah, memupuk semangat harmoni serta memperkukuhkan hubungan antara pelajar daripada pelbagai latar belakang budaya.

Menurut Pengarah Program, Saudara Ahmad Daniel Syah bin Ahmad Effendi, penganjuran majlis ini merupakan satu usaha murni dalam mengukuhkan hubungan sesama pelajar antarabangsa di UPSI tanpa mengira asal-usul mahupun budaya.

“Sambutan ini membuka ruang untuk semua pelajar merasai sendiri keindahan tradisi Aidilfitri dalam suasana penuh kemesraan dan kekeluargaan. Ia juga menjadi landasan untuk mempererat hubungan persahabatan yang amat berharga,” ujar beliau dalam ucapannya.

Keunikan penganjuran pada tahun ini diserikan lagi dengan ucapan aluan yang disampaikan oleh pelajar antarabangsa sendiri, Saudari Ma Chen dari China, sebagai simbolik kepada suara dan keterlibatan aktif pelajar antarabangsa dalam program tersebut.

Dalam ucapannya, Ma Chen menzahirkan rasa syukur dan bangga bergelar seorang Anak Kandung Suluh Budiman.

“Saya berasa bangga menjadi sebahagian daripada keluarga yang meraikan kepelbagaian budaya, di mana para pelajar dari latar belakang berbeza dapat bersama-sama belajar, berkongsi dan berkembang secara aktif dan sihat,” ujar beliau penuh rasa terharu.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Profesor Dr. Ramlee bin Ismail, Pengarah IMAC UPSI, yang menzahirkan penghargaan atas kejayaan penganjuran majlis tersebut.

“Program ini mencerminkan komitmen UPSI dalam memperkukuh pengantarabangsaan kampus dan memartabatkan nilai kerjasama erat dalam sesebuah institusi pengajian tinggi. Inilah wajah UPSI yang sentiasa mendukung kepelbagaian dan mewujudkan ruang inklusif buat semua,” ujar beliau penuh semangat.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Pengarah 2 IMAC, Dr. Siti Nor Amalina binti Ahmad Tajuddin, barisan pentadbir dan staf IMAC, serta wakil-wakil pusat tanggungjawab UPSI.

Kehadiran Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Perak, Tuan Mu’adz bin Nutman, turut menceriakan suasana majlis ini dengan sokongan padu beliau terhadap program-program berteraskan pelajar antarabangsa.

Majlis yang sarat dengan nilai kebudayaan ini diserikan dengan pelbagai persembahan menarik, antaranya persembahan nyanyian lagu-lagu raya oleh Kelab Kombo Muzik Puskeb dan pelajar antarabangsa, serta persembahan tarian tradisional oleh Kelab Destar Limar.

Tidak kurang menariknya, pertandingan busana tradisional, sesi cabutan bertuah, serta penyediaan pelbagai juadah raya turut menambah seri dan keceriaan sambutan.

Menurut Timbalan Pengarah 1 IMAC, Dr. Nor Fadila binti Kasim, yang juga Penasihat Kelab Global Buddies, penganjuran International Open House 2025 sekali lagi membuktikan komitmen UPSI sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang memartabatkan nilai perpaduan serta keterbukaan terhadap kepelbagaian budaya, bukan sahaja di peringkat nasional, malah di persada antarabangsa.

Semangat Aidilfitri yang diterapkan menerusi majlis ini diharapkan dapat terus menyemarakkan nilai-nilai murni, kasih sayang, saling menghormati serta kegembiraan dalam kalangan warga UPSI, selaras dengan aspirasi Naib Canselor UPSI, Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, dalam menjadikan UPSI sebagai universiti bertaraf global yang berteraskan jati diri kebangsaan.

Semoga Syawal yang diraikan ini menjadi lambang kepada keharmonian, perpaduan dan kekeluargaan yang berterusan di bumi Ibu Kandung Suluh Budiman ini, serta menjadi pencetus inspirasi untuk memperkasa nilai-nilai ini pada masa yang akan datang.