Oleh: NurFatimah Husna Sulaiman
Tanjong Malim, 1 Jun 2025– Persatuan Pendidikan Islam (PPI) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi sidang 2024/2025 telah menganjurkan program PPI Family Day yang berlangsung di Arena Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS). Program ini telah disertai oleh ahli Persatuan Pendidikan Islam yang terdiri daripada pelajar Semester 2 hingga Semester 7.
PPI Family Day: Symphony Of Unity merupakan program kedua yang dianjurkan oleh Exco Sukan dan Rekreasi sidang 2024/2025 yang merupakan satu usaha yang dilaksanakan bagi menggalakkan mahasiswa bersukan. Program ini dijalankan untuk memperkukuhkan lagi pembangunan dan pemantapan jasmani di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan mengenali antara satu sama lain dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi Persatuan Pendidikan Islam UPSI.


Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan seperti bola tampar, futsal, bola jaring dan sukaneka yang bukan sahaja mencabar fizikal tetapi juga menguji kerjasama dan semangat berpasukan antara ahli pasukan. Walaupun terdapat sedikit kekangan dari segi masa, namun program ini tetap berjalan dengan lancar hasil komitmen antara ahli jawatankuasa dan pelajar yang hadir bagi memastikan kelancaran program.


Melalui program yang dianjurkan ini, ia dapat memberikan galakan kepada mahasiswa khususnya Persatuan Pendidikan Islam untuk lebih aktif dalam menyertai program-program yang melibatkan kecergasan dan stamina bagi menyeimbangkan kegiatan harian di samping menjaga kesihatan diri kerana penjagaan kesihatan juga merupakan satu elemen yang penting dalam kehidupan seorang pelajar.

Program PPI Family Day telah berjaya mencapai objektifnya dalam menggalakkan mahasiswa untuk mengamalkan gaya hidup sihat tanpa mengira usia dan jantina. Program ini juga berjaya sebagai medium membina ukhuwah antara pelajar serta menggalakkan lagi pelajar untuk melibatkan diri secara aktif dalam program kesukanan yang dianjurkan.
Semoga inisiatif kecil ini mampu memberikan impak yang besar kepada kehidupan seharian mahasiswa UPSI pada masa akan datang.
