Oleh: Cik Afifah Adriana Aznan
Sitiawan, Perak, 14 Jun – Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melaksanakan Program Students for Society (S4S): Penanaman Pokok Bakau sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak di Sitiawan, Perak.
Program anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Pasir Panjang Laut, Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Pasir Panjang Laut dan Global Environment Centre ini merupakan salah satu inisiatif berimpak tinggi dalam menyokong agenda kelestarian alam sekitar serta memperkasakan peranan mahasiswa sebagai agen perubahan masyarakat.
Menurut Pengarah UCTC, Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah, seramai 50 orang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Aqil Wong, Timbalan Pengarah UCTC bersama 30 orang wakil komuniti setempat telah bersama-sama dan berjaya menanam 80 anak pokok bakau di Kampung Pasir Panjang Laut, Sitiawan.



“Pelaksanaan program ini merupakan manifestasi komitmen UPSI terhadap pembentukan mahasiswa holistik yang prihatin terhadap alam sekitar. Melalui platform S4S, pelajar tidak hanya digalakkan untuk menyumbang kepada komuniti, malah turut diberi peluang memperkukuh ilmu secara amali dalam bidang pemuliharaan,” ujarnya.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata program ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai tanggungjawab sosial, kelestarian dan kesejahteraan bersama. Ia juga mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) terutama SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim) dan SDG 15 (Kehidupan di Daratan).



“UPSI menerusi Program S4S komited untuk terus memperkasa peranan mahasiswa sebagai agen perubahan dalam menyokong inisiatif pembangunan lestari dan memelihara alam sekitar demi generasi akan datang terutama hutan paya laut”.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, Encik Hirman bin Awang@Semail yang turut sama menyertai aktiviti gotong-royong penanaman pokok bakau.
