Oleh: Muhammad Syafiq Razali

TANJONG MALIM, 11 Jun 2025 – Keseronokan dan gelak tawa jelas terpancar di wajah kanak-kanak Tadika Bitara UPSI apabila mereka diberi peluang menyertai program “Jungle Pop-Up Explorers”, anjuran Persatuan Geografi UPSI (PERGEO) yang kini memasuki edisi kali kedua. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pendidikan alam sekitar awal kanak-kanak yang digerakkan berasaskan aspirasi Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC).

Program kali ini telah melibatkan seramai 11 orang murid prasekolah Tadika Bitara UPSI, dengan bimbingan dan penglibatan aktif daripada 6 orang pelajar Kursus Latihan Ikhtisas (KLIK) UPSI yang sedang menjalani latihan praktikum di bawah seliaan NCDRC. Sepanjang program berlangsung, peserta kecil ini turut dipantau oleh guru berpengalaman, iaitu Nur Azura Yusofe, yang memastikan keselamatan serta kelancaran aktiviti sentiasa terjaga.

Mengangkat tema “Eksplorasi Alam Liar Malaysia”, pelbagai aktiviti menarik dilaksanakan berteraskan prinsip learning through play, termasuk penggunaan buku pop-up interaktif yang direka khas oleh pelajar Geografi UPSI. Buku ini bukan sahaja menyampaikan maklumat, malah menghidupkan pengalaman pembelajaran melalui ilustrasi timbul, audio naratif, dan elemen visual interaktif.

Yang paling mengujakan, program ini turut memperkenalkan penggunaan teknologi pendidikan moden seperti hologram haiwan, kad imbas 4D, permainan padanan haiwan dan rantaian makanan, serta realiti maya (VR) memberikan peluang kepada murid-murid “menjelajah hutan” secara maya dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan penuh rangsangan. Gabungan elemen fizikal dan digital ini terbukti mampu membina kefahaman yang lebih mendalam tentang ekosistem dan hidupan liar Malaysia.

Menurut penyelaras program, penganjuran kali kedua ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan fasa pertama yang lalu. “Kami melihat potensi besar dalam membina kesedaran alam sekitar sejak usia kecil. Dengan pendekatan interaktif dan berpaksikan teknologi, kanak-kanak lebih mudah menyerap konsep-konsep geografi dan pemuliharaan dalam suasana ceria dan kreatif,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, penglibatan pelajar KLIK membuka ruang kepada mereka untuk mempraktikkan kemahiran pedagogi sebenar dalam konteks dunia pendidikan awal. “Ia menjadi platform latihan lapangan yang amat berharga, bukan sahaja untuk menyampaikan ilmu, tetapi juga membina keyakinan, empati dan kreativiti dalam mendidik anak kecil,” katanya lagi.

pengurusan Tadika Bitara UPSI, khususnya guru pemantau Nur Azura, turut menyambut baik penganjuran program ini. Beliau menyifatkan pendekatan interaktif dan luar bilik darjah ini sebagai pelengkap kepada kurikulum sedia ada. “Program seperti ini amat bagus kerana murid belajar melalui pengalaman dan interaksi secara langsung, bukan hanya melalui buku. Mereka menjadi lebih aktif, berani mencuba dan lebih mudah memahami isi pelajaran,” jelasnya.

Melihat kepada sambutan yang menggalakkan dan impak positif terhadap murid, PERGEO menyasarkan untuk meluaskan pelaksanaan program Jungle Pop-Up Explorers ke lebih banyak prasekolah dan tadika di sekitar Tanjong Malim dan kawasan luar kampus UPSI. Inisiatif ini diharap dapat menjadi model inovasi pendidikan awal kanak-kanak yang berimpak tinggi dengan menggabungkan unsur teknologi, alam sekitar dan pedagogi inklusif dalam satu pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan.