Tanjong Malim, 14 Jun 2025 – Kumpulan nasyid kontemporari BiTaRa terus melakar pencapaian membanggakan apabila dijemput sebagai tetamu jemputan dalam slot Carta IKIMfm yang telah bersiaran pada 14 Jun. Slot tersebut bersiaran secara langsung pada hari Sabtu jam 10:00 pagi dan siaran ulangannya pada hari Ahad jam 9:00 malam. Kehadiran BiTaRa ke studio IKIMfm menjadi satu lagi pengiktirafan terhadap bakat seni nasyid yang kini sedang menjadi bualan warga netizen tanah air apabila kumpulan InTeam bakal membuat persembahan mega pada bulan September nanti.
Menurut Prof. Madya Dr Abdul Halim Masnan, salah seorang ahli Kumpulan BiTaRa, “Dalam keadaan UPSI Berduka, kami amat mengagumi kecekapan pengurusan tertinggi UPSI khususnya Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff dan Profesor Dr. Norkhalid bin Salimin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) yang pantas menangani insiden Tragedi di Gerik yang berlaku baru-baru ini. Ini memberi keyakinan bahawa UPSI adalah institusi yang prihatin terhadap kebajikan pelajar dan stafnya.”
Dalam sesi temubual yang dikendalikan oleh DJ Erwan Johari, kumpulan BiTaRa berkongsi kisah perjalanan seni mereka yang bermula sejak penubuhan pada Februari 2024, daripada gabungan kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (KESAKTI) kepada pembentukan kumpulan nasyid komersial BiTaRa (Bicara Tanpa Ragu). Siaran tersebut mengetengahkan pengenalan barisan ahli kumpulan iaitu Prof. Madya Dr Abdul Halim Masnan (ex-Brothers) dari FPM, Mohd Fadhli Rosli dari UKLK, dan Ts. Abdul Mueiz Rosli dari Pusat ICT, serta kejayaan single pertama mereka “Mohon Padamu” yang berjaya menawan hati pendengar dan menduduki takhta Carta IKIMfm sebanyak tiga kali selepas lapan minggu dalam carta.

Mereka turut berkongsi mengenai penghasilan single kedua “Selamat Tinggal Sahabat” sebagai penghormatan kepada arwah Ahmad Haffiez Abdul Latiff, bekas anggota kumpulan yang terlibat dalam kemalangan, serta pengalaman menarik semasa penggambaran video klip di kampus KSAJS dan KSAS UPSI yang mendapat sokongan penuh pihak pengurusan universiti. BiTaRa turut mendedahkan perancangan untuk single ketiga bertemakan kasih sayang dan kemanusiaan, yang dijangka membuka dimensi baharu dalam arena muzik dakwah ‘World Music’.


Selain berkisar soal seni, temubual turut menyentuh peranan UPSI dalam menyokong bakat warganya serta insiden kemalangan bas yang berlaku di Gerik, yang turut membabitkan warga universiti. BiTaRa menyatakan penghargaan atas tindakan pantas dan berkesan yang diambil pihak pengurusan tertinggi universiti dalam menguruskan krisis tersebut.
Saat paling manis buat BiTaRa dalam siaran tersebut adalah apabila diumumkan bahawa mereka telah menjuarai Carta IKIMfm untuk minggu ke-149 menerusi lagu Mohon Padamu. Malah, secara keseluruhan BiTaRa telah mencatat tiga kali kemenangan sebagai juara carta, satu pencapaian luar biasa bagi kumpulan yang masih setahun jagung dalam industri nasyid ini.
Kehadiran BiTaRa ke IKIMfm bukan sahaja menandakan pengiktirafan terhadap bakat dan usaha mereka, tetapi juga menjadi medan untuk mengetengahkan UPSI sebuah Universiti Pendidikan Bitara sebagai institusi yang sentiasa menyokong perkembangan seni dan dakwah. Dengan semangat yang terus menyala, BiTaRa dijangka terus mencipta gelombang dimensi baharu dalam dunia nasyid tanah air akan datang. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada warga universiti dan peminat muzik Islamik seluruh negara
