Tanjong Malim, 17 Mei – Satu program keselamatan siber bertajuk “Penyamaran PTPTN: Ancaman Siber Baharu Kepada Mahasiswa?” telah berjaya dianjurkan oleh pelajar Kursus Cybersecurity Awareness (DSC 2013) Fakulti Komputeran dan Meta- Teknologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 17 Mei, hari Sabtu di lokasi Cafe Kolej Ungku Omar (KUO). Program ini bermula pada jam 10:30 pagi hingga 3:30 petang.

Program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti pembelajaran berimpak tinggi iaitu Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan mahasiswa berkenaan bahaya penyamaran sebagai wakil PTPTN yang semakin berleluasa. Penganjuran ini turut mendapatkan kerjasama yang penuh daripada pihak fakulti dengan bimbingan pensyarah Ts. Salman Firdaus Bin Sidek serta komitmen dan hasil titik peluh barisan jawatan kuasa yang terdiri daripada 11 orang pelajar.

Antara aktiviti yang turut dijalankan sepanjang program termasuklah edaran risalah, ceramah mini berkaitan ancaman siber, soal selidik berkaitan pengetahuan mahasiswa dan akhirnya pop kuiz dijalankan. Aktibiti-aktiviti yang dijalankan bukan sahaja memberi pendedahan berkaitan tektik penipuan terkini, malah untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan melindungi maklumat peribadi dalam urusan harian mahasiswa.

Menurut barisan jawatan kuasa program, penganjuran program ini diharapkan dapat membantu mahasiswa lebih peka dengan tipu daya tektik penyamaran dan ingin mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penipuan siber. Melalui program ini, mahasiswa dapat mengenal pasti taktik penipuan, tanda-tanda bahawa mereka sedang disasarkan, langkah-langkah pencegahan, serta saluran bantuan seperti talian hotline PTPTN dan Cyber 999. Inisiatif yang dilaksanakan ini untuk membantu mahasiswa lebih peka, cakna dan tidak menjadi mangsa penipuan siber.

Program ini dilaksanakan kerana mampu memberi impak positif dalam memperkukuhkan keselamatan digital dalam warga mahasiswa dan diharapkan agar mereka akan berkongsi ilmu bersama rakan-rakan yang lain agar tidak terjebak sebagai mangsa. Kami berharap program ini akan membentuk mahasiswa yang lebihcelik siber dan beretika dalam penggunaan teknologi.