Oleh: Anuar Azizi Anuar Basha
Pulau Pinang – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), melalui UPSI Holdings Sdn. Bhd. dengan kerjasama Fakulti Sains dan Matematik (FSM) serta Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) telah menyertai STAR Education Fair yang berlangsung pada 14 hingga 15 Jun bertempat di Setia Spice Convention Centre, Pulau Pinang. Penyertaan ini bertujuan mempromosikan program pengajian yang ditawarkan melalui Saluran Bitara bagi pengambilan Julai dan September 2025.

Saluran Bitara UPSI merupakan inisiatif khas yang ditawarkan oleh UPSI bagi memberi peluang kepada pelajar lepasan SPM melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama. Antara program yang ditawarkan termasuklah Sarjana Muda Pendidikan (Biologi), Sarjana Muda Pendidikan (Fizik), Sarjana Muda Pendidikan (Kimia), Sarjana Muda Pendidikan (Matematik), Sarjana Muda Pendidikan (Sains) dan Sarjana Muda Sains Matematik dengan Pendidikan.



Wakil yang telah mewakili UPSI dan UPSI Holdings Sdn. Bhd. dalam mempromosikan program Saluran Bitara ini ialah Amirah Kamaliah Kamarul Zaman, Ketua Jabatan Pendidikan & Latihan, Mohamad Hilmie Ali, Nur Amirah Fatihah Saiduri, Mohd Yusri Mohd Yusof dan Anuar Azizi Anuar Basha wakil Fakulti Sains dan Matematik dan Maryamul Adzra’ Mohamad Fadzli, wakil Fakulti Bahasa dan Komunikasi.
Penyertaan UPSI dan UPSI Holdings Sdn. Bhd. dalam pameran selama dua hari ini berjaya menarik hampir 5,000 orang pengunjung. Pameran ini turut disertai hampir 50 institusi lain termasuk UCSI University, Han Chiang University, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan lain-lain.
Kejayaan promosi ini diharapkan menjadi pencetus semangat kepada semua pihak untuk terus mempergiat usaha dalam memasarkan program-program pengajian UPSI ke peringkat yang lebih tinggi.
