Oleh: Prof. Madya Dr. Hazalizah Hamzah dan Dr. Fatanah Ramlee
Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melaksanakan Program Mobiliti Luar Negara ke Universitas Muhammadiyah Purwokerto (UMP) dan Universitas Mercu Buana Yogyakarta (UMBY) pada 28 Mei hingga 1 Jun 2025. Program tersebut dijayakan oleh empat orang mahasiswa Sarjana Muda Psikologi dengan Kepujian iaitu Voosini Saravanan, Nurul Hidayah Kamarul Fathi, Sangamitra Sathiaseelan, dan Noor Sabrinah Mohamed Ali Jinna dan dua orang pensyarah dari Jabatan Psikologi.
Para mahasiswa terlibat dalam pertandingan pembentangan hasil penyelidikan dalam The 7th International Seminar on Psychology (ISPsy – 7) anjuran UMP sementara Prof. Madya. Dr. Hazalizah Hamzah dan Dr. Fatanah Ramlee dilantik sebagai Pensyarah Pelawat dan Penilai Luar Program Psikologi oleh kedua-dua buah universiti.

Dalam pertandingan Paper Presentation Competition, Nurul Hidayah Kamarul Fathi telah dinobatkan sebagai Johan, manakala Sangamitra Sathiaseelan pula meraih Naib Johan. Kejayaan ini membuktikan keupayaan pelajar UPSI dalam menyampaikan idea dan hasil kajian secara berkesan.
Program ini telah mencapai matlamat untuk mendedahkan mahasiswa dengan pengalaman dalam aktiviti di rantau orang dan menjalin kerjasama akademik yang bermakna. Program ini dijangka akan mencetuskan pelbagai aktiviti antarabangsa yang lain pada masa depan yang akan merealisasikan hasrat petunjuk prestasi utama UPSI.
Sekalung penghargaan buat UPSI yang menyediakan sebahagian besar dana untuk program ini dan juga kepada CXS Analytics yang turut memberikan sumbangan tajaan. Jutaan tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

