oleh: Khoirun Nisya Ruslan
Tanjong Malim, 5 Julai 2025 – Pelajar tahun akhir Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berpeluang mengikuti taklimat eksklusif bersama Teach For Malaysia (TFM) yang berlangsung pada malam Sabtu, dari jam 8.30 malam hingga 10.30 malam secara dalam talian.
Program anjuran Entrepreneurial Development and Graduate Employability Centre (EDGE UPSI) ini memberi ruang kepada pelajar yang berminat untuk menyumbang bakti sebagai pemimpin pendidikan di sekolah-sekolah berkeperluan tinggi di seluruh negara.


Taklimat telah disampaikan oleh Barbara Er, Head of Talent Acquisition (Fellowship) dari TFM, yang memperkenalkan Fellowship TFM – sebuah program pembangunan kepimpinan selama dua tahun yang memberi peluang kepada graduan untuk berkhidmat sebagai guru di sekolah yang memerlukan, sambil membina keupayaan kepimpinan mereka.
Barbara turut berkongsi peluang pertumbuhan kerjaya, latihan intensif, serta impak sosial yang boleh dicapai melalui program ini. Para peserta juga berpeluang bertanya soalan mengenai proses permohonan, syarat kelayakan, dan realiti cabaran di lapangan.


Menurut Timbalan Pengarah EDGE, Dr. Siti Shuhaida Shukor, program ini sejajar dengan aspirasi UPSI untuk melahirkan graduan yang prihatin dan berwawasan.
“Kami mahu pelajar berfikiran jauh, bukan sekadar mendapatkan pekerjaan tetapi menyumbang bakti sosial kepada kumpulan marginal seperti komuniti Orang Asli di kawasan pedalaman. Usaha ini penting bagi mengurangkan jurang ketidaksamarataan pendidikan di negara ini,” katanya.
Program ini mendapat sambutan positif terutamanya daripada pelajar yang mempunyai minat dalam pendidikan komuniti dan aspirasi untuk menjadi agen perubahan sosial.
