oleh: Puan Nora Liza Abdul Kadir

Tanjong Malim – Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) telah berjaya menjalankan Program Minggu Upskilling 2024 dalam dua fasa, iaitu Fasa 1 (4 – 1 Disember 2024) dan Fasa 2 (21 Januari sehingga 13 Februari 2025).

Program ini dijalankan demi menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Pihak Pengurusan Tertinggi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan UPSI yang berilmu dan berdaya saing dalam persaingan mendapatkan pekerjaan.

Aktiviti yang telah dijalankan sepanjang Program Minggu Upskilling 2024 Fasa 2 adalah pertamanya Career Talk bersama Puan Gladys De Silva, Talent Business Partner, dari Malaysia HR Forum.

Dalam sesi ini, Puan Gladys telah memberikan input berguna kepada graduan dan bakal graduan UPSI berkenaan bagaimana untuk berjaya dalam menduduki temuduga bersama bakal majikan.

Beliau juga telah memberikan tips penting tentang cara penampilan, cara bertutur dan pembawaan diri semasa menjalani temuduga.

Aktiviti seterusnya adalah Resume Clinic, dimana penceramah jemputan adalah Encik Muhammad Hilmi Che Ahamad, kakitangan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI.

Beliau telah memberikan ceramah yang sangat berguna kepada graduan dan bakal graduan UPSI. Beliau telah menerangkan kaedah betul dalam menulis resume, dan peserta dimaklumkan apa item-item lain yang perlu dimasukkan dalam resume berkenaan untuk menghasilkan dokumen yang berkesan.

Program kali ini merupakan lanjutan kepada aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan pada Program Minggu Upskilling Fasa 1 pada tahun 2024, seperti Resume Clinic, How to Ace an Interview with Teach for Malaysia, How to Prepare for Interview, Opportunities and Challenges to Further Study/Work Abroad, dan Sesi Mock Interview bersama pensyarah UPSItelah dilaksanakan dengan jayanya.

Program Minggu Upskilling Fasa 1 dan 2 ini telah menarik minat ramai graduan dan pelajar UPSI, dimana ia telah memberikan manfaat kepada 1,989 orang peserta.

Para penceramah yang terdiri dari kakitangan UPSI dan juga pihak luar komited dalam memberikan input yang sangat berguna kepada para graduan tentang penyediaan resume, cara untuk berjaya dalam temuduga, dan bagaimana untuk merebut peluang pekerjaan dan juga melanjutkan pelajaran di luar negara.

Para pensyarah UPSI juga telah memberikan bimbingan kepada graduan untuk memperbaiki prestasi diri agar berjaya dalam temuduga-temuduga yang akan dihadiri.

Adalah diharapkan segala aktiviti yang telah dijalankan akan membantu meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan UPSI, dan semestinya memberikan faedah dan kelebihan kepada graduan serta pelajar-pelajar UPSI dalam menjadikan mereka insan yang berdaya saing dan bermutu tinggi yang dikehendaki oleh pihak industri yang akan menjadi bakal majikan mereka.