Tanjong Malim, 7 Julai 2025 – Program IFUTURE yang berlangsung hari ini telah membuka ruang kepada penglibatan aktif golongan belia dalam pelbagai diskusi dan pengisian ilmiah yang berfokus kepada pembangunan nilai, kepimpinan serta kesedaran sivik dalam mendepani cabaran era digital.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif memperkasa belia selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

Program dimulakan pada jam 3.00 petang dengan sesi bertajuk “Peranan Belia Dalam Membina Malaysia Madani” yang dikendalikan oleh Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM).

Sesi ini menekankan peranan strategik belia sebagai ejen perubahan yang mampu menyumbang secara aktif dalam pembangunan negara berlandaskan prinsip keadilan, kemampanan dan nilai murni.

Dalam perkongsian daripada Encik Haslizar bin Rozally, Pengarah Akademi Kenegaraan Negara, beliau berkongsi mengenai kepentingan Rukun Negara. Sesi perkongsian juga diselitkan dengan permainan yang menggunakan platform kahoot.

Sesi diteruskan pada jam 4.00 petang dengan forum “Undi 18: Pemerkasaan Belia Dalam Menghadapi Era Digital” yang dibawakan oleh Encik Kamarul Azman bin Ahmad Sabri, Ketua Program Pendidikan Pengundi, Akademi Pilihan Raya, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Forum ini memberi pendedahan kepada para peserta mengenai pentingnya celik maklumat dan tanggungjawab sebagai pengundi muda dalam membentuk landskap demokrasi negara. Forum ini juga diselitkan dengan simulasi semasa hari mengundi.

Pelajar baharu dipilih sebagai model bagi melaksanakan simulasi untuk memberi pengalaman baru kepada pelajar untuk proses mengundi.

Pada jam 5.00 petang, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mengetengahkan sesi bertajuk “Next Gen Leader: Berilmu, Berakhlak, Berwawasan”.

Forum ini dimulakan dengan sesi suai kenal bersama kesemua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Forum ini memberi penekanan kepada ciri-ciri pemimpin masa hadapan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, tetapi turut memiliki akhlak terpuji serta wawasan yang jelas dalam memacu pembangunan komuniti dan negara.

Program diteruskan pada sebelah malam dengan kemuncak acara iaitu Majlis Ikrar Pelajar bertemakan “Adab dan Akhlak: Cerminan Belia Masa Hadapan Negara”, yang disempurnakan oleh Profesor Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Majlis yang berlangsung ini memperkukuhkan komitmen para pelajar terhadap nilai adab, integriti dan tanggungjawab sosial sebagai tonggak utama dalam melahirkan generasi pewaris negara yang beretika dan berwawasan.

Penganjuran program IFUTURE ini membuktikan kesungguhan institusi pendidikan tinggi dalam menyemai nilai murni serta membentuk modal insan belia yang seimbang dari segi intelek, rohani dan sahsiah, sejajar dengan matlamat membina sebuah negara bangsa yang progresif dan harmoni.