OLEH: DR. VESTLY KONG LIANG SOON dan PROF. MADYA PROFESOR DR. NORWALIZA BINTI ABDUL WAHAB

Kuala Lumpur, 16 – 17 Mei 2025 – bertempat di Tamu Hotel & Suites, telah berlangsung Bengkel Penyediaan Proposal Kajian bagi Konvensyen Suara Guru Malaysia 2025.

Bengkel ini menyaksikan penyertaan seramai 24 orang penyelidik dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) seluruh negara. Dr. Vestly Kong Liang Soon dan Prof. Madya Profesor Dr. Norwaliza Abdul Wahab selaku wakil NUTP di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut dijemput dan terlibat bersama dalam bengkel tersebut.

Tujuan utama bengkel ini adalah untuk membentangkan, memurnikan dan memperkemaskan cadangan-cadangan penyelidikan yang akan dijadikan asas kepada kajian sebenar yang akan dibentangkan pada Konvensyen Suara Guru Malaysia yang dijadualkan pada 31 Oktober hingga 2 November 2025.

Dalam bengkel ini, sebanyak 23 kertas cadangan penyelidikan telah dibentangkan oleh para penyelidik dan setiap proposal akan ditambah baik untuk menghasilkan penyelidikan yang lebih berkualiti.

Bengkel ini juga turut dihadiri oleh beberapa tokoh penting dalam dunia pendidikan, termasuk Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon; Bendahari Agung NUTP, Azmi Ahmad Sapian; serta Prof. Madya Dr. Mohd Nazri Abdul Rahman dari Jabatan Psikologi & Kaunseling Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

Kehadiran tokoh-tokoh ini memberi semangat tambahan kepada penyelidik untuk terus berusaha dalam menghasilkan penyelidikan yang relevan dengan perkembangan pendidikan di Malaysia.

Bengkel ini telah dimulakan dengan taklimat mengenai penyediaan proposal oleh pihak penganjur yang memberi penekanan terhadap aspek penting dalam penyusunan kertas cadangan penyelidikan.

Selepas itu, sesi pembentangan dimulakan, di mana peserta membentangkan hasil kajian mereka secara berkumpulan mengikut negeri-negeri yang terlibat.

Pembentangan meliputi negeri-negeri seperti Johor, Pahang, Melaka, Selangor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan dan Ibu Pejabat NUTP.

Setiap pembentangan disusuli dengan sesi pemurnian yang membolehkan para peserta memberikan maklum balas dan cadangan penambahbaikan terhadap kertas cadangan yang dibentangkan.

Bengkel ini memberikan ruang kepada para penyelidik untuk mendapatkan pandangan serta bimbingan daripada pakar-pakar dalam bidang pendidikan yang turut hadir.

Sehubungan itu, para penyelidik digalakkan untuk menyusun semula kertas cadangan mereka dengan mengambil kira saranan dan penambahbaikan yang diberikan agar kajian yang dijalankan dapat memberi impak positif terhadap dunia pendidikan di Malaysia.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua penyelidik yang telah menerima jemputan dan menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang bengkel ini berlangsung.

Diharapkan hasil kajian yang akan dibentangkan dalam Konvensyen Suara Guru Malaysia 2025 kelak akan memberi manfaat besar kepada kemajuan sistem pendidikan negara.

Dengan berakhirnya bengkel ini, segala persiapan dan pemurnian kertas cadangan akan terus dijalankan untuk memastikan setiap kajian memenuhi standard yang ditetapkan dan memberi sumbangan positif kepada pembangunan pendidikan negara.