Oleh: Hafiz Abd Manap
Tanjong Malim – Kolej Ungku Omar (KUO) terus mengukuhkan reputasinya sebagai kontinjen yang konsisten dan berdaya saing apabila sekali lagi dinobatkan sebagai Naib Juara Keseluruhan dalam SUPER UPSI dan KEJORA 2025, menjadikannya pencapaian dua tahun berturut-turut di kedudukan kedua tertinggi kejohanan.
Kolej Ungku Omar sah menamatkan saingan di kejohanan kali ini dengan kutipan sebanyak 27 pingat emas, 31 pingat perak dan 37 pingat gangsa, sekaligus meletakkannya sebagai salah satu kontinjen paling dominan dalam temasya sukan tahunan tersebut.
Kejohanan tahunan ini menyaksikan persaingan sengit antara kolej-kolej kediaman UPSI, namun KUO terus membuktikan keunggulannya bukan sahaja dalam bidang kepimpinan dan sahsiah pelajar, malah turut cemerlang di arena sukan dan kesukanan kampus.



“Keputusan ini adalah hasil daripada semangat juang tinggi atlet KUO, strategi pasukan yang mantap, dan sokongan padu seluruh warga kolej. Walaupun gelaran juara masih belum menjadi milik kami, pencapaian ini membuktikan KUO kekal sebagai kuasa besar dalam kejohanan ini,” ujar Pengetua KUO, Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Nasrifan.
Kejayaan ini melengkapkan satu lagi tahun cemerlang buat Kolej Ungku Omar selepas merangkul gelaran Kolej Bitara dan membolot 9 Anugerah Pemimpin Individu Lestari dalam Anugerah Kolej Kediaman (AKK) 2025.
Menurut Ketua Kontinjen KUO, Saudara Hamiz Mijin, kejayaan ini adalah hasil daripada semangat kebersamaan dan usaha kolektif yang luar biasa daripada semua pihak.
“Komitmen dan semangat kesukanan tinggi ditunjukkan oleh semua atlet dan pengurusan SUPER UPSI KUO kali ini membuahkan hasil. Kita dapat mengekalkan kedudukan sama dua tahun berturut-turut, dan lebih menarik, pada temasya kali ini pentadbiran, felo, Skim Pelajar, MMK serta seluruh warga KUO bersatu hati memberikan sepenuh keringat dan sokongan demi nama Kolej Ungku Omar,” katanya.


“Menang bukan sekadar di podium, tetapi pada semangat yang dibina, nilai yang ditanam, dan persaudaraan yang dieratkan. KUO bukan sekadar kolej – ia adalah sebuah keluarga yang terus melangkah bersama, mencipta legasi dan membina nama.” Tambahnya.
Dengan semangat juang yang tidak pernah luntur, KUO kini bersedia untuk terus melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan – kerana bagi KUO, kecemerlangan bukan sekadar destinasi, tetapi satu perjalanan panjang yang harus ditempuh bersama-sama.

