Oleh: Syarifah Sakina binti Nasran

Kalumpang, 2 Jun 2025 – Program “Sisa Karbon & Iklim: Bagaimana Kitar Semula Menyelamatkan Dunia” ini dianjurkan oleh pelajar Kumpulan 3 (Group B) HGF3073 Kaji Iklim bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan penting kitar semula dalam memelihara alam sekitar.

Bersama komuniti Kg. Pasir Puteh, Kalumpang, pelbagai aktiviti menarik telah dilakukan yang menggabungkan elemen pendidikan, kreativiti, dan semangat gotong-royong bagi mewujudkan sebuah komuniti yang lebih prihatin dan lestari bagi mendidik dan menggalakkan amalan hijau yang mampan.

Program dimulakan dengan sesi ice breaking yang unik dan penuh interaksi antara AJK dan peserta, di mana peserta akan belajar mengasingkan sampah mengikut warna tong sampah.

Objektif sesi ini adalah untuk mendidik peserta tentang cara pengurusan sisa yang betul dan menggalakkan kesedaran tentang kepentingan pemisahan sisa sejak dari rumah lagi. Aktiviti ini dapat memupuk semangat kerjasama dan memberi pendedahan awal yang menyeronokkan kepada amalan kitar semula.

Sesi Awareness Talk oleh Dr. Mohd Ihsan telah membuka minda para peserta dengan pencerahan yang menyeluruh mengenai isu sisa karbon dan kaitannya dengan perubahan iklim.

Beliau menjelaskan secara jelas bagaimana pelepasan karbon dari aktiviti manusia, terutamanya pembakaran bahan api fosil dan penebangan hutan, menjadi punca utama peningkatan suhu global.

Dalam masa yang sama, Dr. Mohd Ihsan menekankan bahawa kitar semula bukan hanya langkah untuk mengurangkan sampah, tetapi juga sebagai salah satu strategi penting bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang memerangkap haba di atmosfera.

Menariknya, sesi ketiga pula menampilkan Eco Fashion Runway, satu persembahan fesyen inovatif menggunakan bahan kitar semula.

Objektif sesi ini adalah untuk menunjukkan bahawa kitar semula tidak hanya terhad kepada barangan rumah, tetapi juga boleh menjadi medium kreativiti yang menarik.

Peserta akan mempamerkan pakaian yang dihasilkan daripada bahan buangan, sekaligus memupuk minat masyarakat terhadap gaya hidup hijau yang moden.

Program ini diteruskan dengan aktiviti gotong-royong, yang bukan sahaja mempraktikkan amalan kitar semula secara terus, malah mengeratkan hubungan antara peserta.

Aktiviti ini adalah simbol semangat bersatu padu demi kelestarian alam sekitar. Akhir kata, program ini bukan sekadar satu acara, tetapi satu janji-janji kepada alam, juga janji kepada generasi akan datang.

Bersama komuniti Kg. Pasir Puteh, Kalumpang, kita buktikan bahawa setiap langkah kecil yang diambil hari ini adalah hadiah untuk hari esok yang lebih hijau. Jadilah sebahagian daripada perubahan ini kerana dunia yang lebih bersih, lestari dan berdaya tahan bermula dengan kita semua.