Oleh: Dr. Lilia Ellany Mohtar & Prof. Madya Dr. Lee Tien Tien
Tanjong Malim, 26 Julai 2025 – Sebagai usaha memupuk minat mendalam terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Chumbaka Sdn. Bhd. dan Penang Science Cluster telah menganjurkan program Perak Metamorphosis of Young STEMers (PMOYST) 2025 pada 24 hingga 26 Julai 2025.
Program ini telah berlangsung di FSM UPSI dan melibatkan penyertaan pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri Perak. PMOYST 2025 membawakan dua program, iaitu Intel Geek Kids dan Perak Maker Fair.




Intel Geek Kids adalah program hasil kerjasama dengan Penang Science Cluster, berlangsung pada 24 hingga 26 Julai 2025, melibatkan 120 murid, 40 guru sekolah rendah dan 15 orang fasilitator yang terdiri daripada pelajar diploma FSM, UPSI. Ia menekankan pendedahan awal kepada teknologi melalui aktiviti bengkel dan pembelajaran berasaskan projek, bagi membina kemahiran abad ke-21 dalam kalangan murid. Antara modul program yang berlangsung adalah Bengkel Penyelesaian Masalah, Bengkel Teknologi: Mikroelektronik dengan micro:bit, Bengkel Kemahiran Pembentangan dan Pitching. Perak Maker Fair pula berlangsung pada 26 Julai 2025, merupakan hasil kolaborasi bersama Chumbaka Sdn. Bhd. dan melibatkan penyertaan 48 pasukan dengan 132 orang pelajar dan 31 orang guru sekolah menengah. Acara ini menjadi pentas kepada pelajar mempamerkan inovasi mereka melalui pertandingan reka cipta dan pameran projek berasaskan STEM.







Program ini menjadi platform untuk pelajar mengaplikasikan pengetahuan dalam bentuk projek sebenar yang menyelesaikan isu kehidupan seharian. Sebagai kemuncak kepada Perak Maker Fair, sebanyak 14 pasukan yang mengambil bahagian dalam Perak Maker Fair ini berjaya memenangi hati 16 juri dengan reka bentuk kreatif mereka yang cemerlang dan unik.
Empat pasukan telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Emas hasil daripada idea yang cemerlang dan pelaksanaan projek yang mengagumkan.
Empat lagi pasukan menerima Anugerah Perak, manakala lima pasukan telah merangkul Anugerah Gangsa atas penyertaan yang kreatif dan berpotensi tinggi. Empat pasukan pemenang Anugerah Emas akan melanjutkan pertandingan ke peringkat kebangsaan di Sime Darby YIC (SDYIC) National Championship.
Di peringkat kebangsaan ini, tiga projek paling berkesan dan berdaya maju akan dianugerahkan Geran Inovasi SDYIC dengan nilai sebanyak RM10,000 setiap satu.
Senarai Pemenang – Perak Maker Fair 2025
Anugerah Emas (Gold Award)
- SMK Dato Zulkifli Muhammad – Go Chicky Go
- Sekolah Menengah Sains Tapah – AgroNova
- SMK Raja Chulan – INVINCIBLE
- SMJK Katholik Tanjong Malim – TEAM DISCOVERY’S AGENT
Anugerah Perak (Silver Award)
- SMK Bandar Behrang 2020 – Smart Crash Alert
- SMJK Pei Yuan – SMK PEI YUAN
- Sekolah Menengah Sains Tapah – SEVEN
- SMK Dato Zulkifli Muhammad – Smart Dose
Anugerah Gangsa (Bronze Award)
- Sekolah Menengah Sains Tapah – Men In Black
- SMK Tronoh – LYC Temenggung
- SMK Raja Chulan – TEH TARIK GENG
- SMK Clifford – CLIFFORD CODERS
- SMK Tronoh – AAZ TEAM



Maker Fair ini bukan sahaja mengiktiraf bakat pelajar dalam bidang teknologi dan inovasi, malah turut memperlihatkan keupayaan mereka bekerja secara kolaboratif, berfikir secara kritis, dan menyampaikan idea dengan berkesan. Kejayaan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada penglibatan lebih ramai pelajar dalam bidang STEM pada masa akan datang.

