Oleh : Muhammad Whafizuddin Majid
Tanjong Malim – Bermula dari 2 Mac hingga 25 Mac 2025, telah berlangsung sebuah program istimewa selama hampir sebulan bersempena menyambut kedatangan bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Program tersebut bertemakan ‘Mahabbah Ramadan FPE 2025: Majlis Tadarus Al-Quran’ dan telah dianjurkan oleh Persatuan Pengurusan dan Ekonomi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (PPEFPE).
Program ini bertujuan untuk memupuk rasa cinta dan penghargaan terhadap Al-Quran dalam kalangan pelajar, staf akademik serta kakitangan fakulti.
Melalui penghayatan ayat-ayat suci Al-Quran, program ini berhasrat untuk menggalakkan budaya membaca Al-Quran secara konsisten, sekali gus meningkatkan kefahaman serta pengamalan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.
Usaha murni ini juga sejajar dengan aspirasi fakulti dan universiti dalam melahirkan insan yang berakhlak mulia, berilmu, dan mampu menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang harmoni serta berintegriti.
Berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya, Majlis Tadarus Al-Quran kali ini dijalankan secara dalam talian bagi memberi kemudahan kepada semua lapisan warga fakulti untuk menyertainya tanpa mengira kekangan tempat dan masa.
Setiap peserta yang berdaftar diberi kebebasan untuk memilih juzu’ masing-masing untuk ditadaruskan secara individu atau berkumpulan, dengan harapan setiap ayat yang dibaca dapat difahami dan dihayati dengan lebih mendalam.
Seramai 75 peserta telah berdaftar dalam program ini dan berjaya menyempurnakan tadarus sehingga khatam 30 juzu’ Al-Quran.


Kejayaan ini membuktikan komitmen dan kesungguhan warga Fakulti Pengurusan dan Ekonomi dalam menyemarakkan semangat Ramadan serta memperkukuh hubungan spiritual melalui pembacaan Al-Quran.
Secara keseluruhannya, program Mahabbah Ramadan FPE 2025: Majlis Tadarus Al-Quran bukan sahaja menjadi platform untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, malah turut memperkukuhkan ukhuwah sesama warga fakulti.
Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa akan datang demi menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan warga universiti secara berterusan.
