Destar Limar UPSI diangkat sebagai Juara dan Anugerah Pengarah Tari TerbaikDestar Limar UPSI diangkat sebagai Juara dan Anugerah Pengarah Tari Terbaik

JOHOR, 27 Ogos 2026 – Kelab Destar Limar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar  kejayaan gemilang apabila dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Tarian Kreasi Baharu Zapin  sempena UniKL Arts Festival 2026 yang berlangsung di UniKL MITEC, Johor.

Kejayaan tersebut menjadi lebih bermakna apabila Destar Limar UPSI turut membawa pulang  Anugerah Pengarah Tari Terbaik, sekali gus mencipta kemenangan berganda dalam pertandingan  yang menghimpunkan bakat seni persembahan daripada pelbagai institusi.

Dalam persaingan sengit melibatkan 13 peserta, Destar Limar UPSI tampil unggul dengan  persembahan yang menyerlah dari aspek kreativiti koreografi, penguasaan teknik, disiplin,  ekspresi serta kesatuan persembahan. Kejayaan menewaskan 12 peserta lain membuktikan  keupayaan pasukan dalam menghasilkan karya tari yang beridentiti, segar dan kompetitif, tanpa  mengetepikan nilai serta jati diri tarian Zapin.

Kejayaan ini turut diperkukuh melalui gandingan pengurusan dan kepimpinan yang tersusun.  Penyertaan pertandingan ini mendapat sokongan penuh dan dorongan daripada Pengarah Pusat  Kebudayaan, Puan Siti Salwa binti Jamaldin dengan kerjasama dari pihak Fakulti Muzik dan Seni  Persembahan dan berada di bawah pengurusan Cik Norhafizza binti Mohd Noh, Pegawai  Kebudayaan UPSI, serta En. Muhammad Alif bin Mohd Azizi, selaku Penasihat Kelab Destar Limar  UPSI. Aspek koreografi pula digarap oleh En. Nasrul Nizam bin Nasir, yang memberikan sentuhan  kreatif dan pendekatan koreografi baharu dalam menghasilkan persembahan yang berimpak.

Kemenangan di UniKL Arts Festival 2026 ini sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Pusat  Kebudayaan UPSI dalam memperkasa penglibatan mahasiswa dan kakitangan universiti dalam  bidang seni dan budaya, di samping menyediakan ruang kepada bakat seni UPSI untuk  berkembang dan bersaing di peringkat yang lebih luas.

Destar Limar UPSI diangkat sebagai Juara dan Anugerah Pengarah Tari Terbaik
Barisan Mahasiswa Kumpulan Tari Destar Limar

Pencapaian Johan Pertandingan Tarian Kreasi Baharu Zapin dan Anugerah Pengarah Tari Terbaik ini diharapkan menjadi pemangkin kepada Destar Limar UPSI untuk terus meneroka kreativiti  baharu, menghasilkan karya seni yang berkualiti dan mengangkat seni tari Melayu agar terus  berkembang, relevan serta dihargai oleh generasi masa kini dan akan datang.

Tahniah dan syabas kepada Kumpulan Tari Destar Limar UPSI, barisan pengurusan, kepimpinan,  koreografer serta semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan ini. Semoga pencapaian  tersebut terus menjadi inspirasi untuk mengukir kecemerlangan dan mengharumkan nama UPSI  melalui seni dan budaya.