Oleh: En. Mohd Azuwan Mat Zulkipli
TANJONG MALIM, 26 Ogos 2026 — Pusat Kebudayaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) buat julung-julung kalinya menganjurkan Hari Terbuka Pusat Kebudayaan bertemakan “Budaya Jiwa Merdeka” bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia yang ke-69.
Program yang berlangsung di perkarangan Blok A, Pusat Kebudayaan, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah itu telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin.
Penganjuran program tersebut merupakan cetusan idea Pengarah Pusat Kebudayaan, Siti Salwa Jamaldin, dengan kerjasama Penasihat Program, Mohd Azuwan Mat Zulkipli, serta Pengarah Program, Siti Rosmaliza Ramlee.
Hari Terbuka “Budaya Jiwa Merdeka” dianjurkan sebagai wadah untuk menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara dalam kalangan warga universiti serta komuniti setempat.
Selain itu, program ini turut memberi penekanan terhadap pemupukan nilai perpaduan, keharmonian dan sikap saling menghormati dalam masyarakat berbilang kaum.
Penganjuran program turut bertujuan menggalakkan penyertaan aktif kakitangan, pelajar dan komuniti dalam pelbagai aktiviti berteraskan seni, budaya dan kenegaraan, sekali gus menjadikan Pusat Kebudayaan sebagai ruang interaksi yang menghubungkan warga universiti dengan masyarakat.
Program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran seramai 363 orang, terdiri daripada pelajar, kakitangan UPSI dan pengunjung luar.
Turut memeriahkan program ialah kehadiran lima buah bas yang membawa pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) yang merupakan peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 UPSI.
Selain penglibatan warga universiti, program ini turut membuka ruang kepada komuniti usahawan tempatan apabila 17 orang penggerai dari sekitar Muallim mengambil bahagian dalam aktiviti jualan.
Menariknya, sebahagian besar penggerai terdiri daripada golongan belia, sekali gus memberikan peluang kepada generasi muda untuk mengetengahkan produk serta mengembangkan potensi keusahawanan mereka.
Pelbagai aktiviti seni, budaya dan hiburan telah disusun sepanjang program berlangsung, antaranya Senam Tari yang dikendalikan oleh pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Open Mic yang menampilkan tiga orang pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, serta persembahan syair dan nyanyian tradisional oleh Muhammad Imran Abdullah.
Turut dipersembahkan ialah sajak dan nyanyian tradisional oleh Muhammad Nur Haizyem Abdul Muhaimin, selain Bengkel Ikat dan Celup Merdeka (Tie and Dye) yang memberikan peluang kepada peserta untuk meneroka kreativiti melalui seni tekstil.
Program turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah dan persembahan busking oleh artis terkenal Bob Sentuhan, yang berjaya menarik perhatian pengunjung serta mewujudkan suasana santai dan meriah sepanjang berlangsungnya Hari Terbuka.

(Hal Ehwal Pelajar & Alumni) turut bersama-sama bergambar dengan pengunjung
Hari Terbuka Pusat Kebudayaan.

YBrs. Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin, Timbalan Naib Canselor
(Hal Ehwal Pelajar & Alumni)

Kemuncak program menyaksikan Prof Dr. Norkhalid Salimin bersama-sama para pengunjung menyanyikan lagu “Warisan”, nyanyian asal Allahyarham Sudirman Haji Arshad. Momen tersebut menjadi simbolik kepada semangat patriotisme, kecintaan terhadap tanah air serta penghargaan terhadap warisan seni dan budaya negara.
Penganjuran Hari Terbuka “Budaya Jiwa Merdeka” membuktikan bahawa seni dan budaya mampu menjadi medium berkesan dalam menyatukan warga universiti dan komuniti, di samping menyemarakkan semangat kemerdekaan melalui penglibatan aktif masyarakat dalam aktiviti kebudayaan.
Inisiatif ini juga memperkukuh peranan Pusat Kebudayaan UPSI sebagai platform yang bukan sahaja memperkasakan kegiatan seni dan budaya, malah berperanan dalam membina jati diri, semangat patriotisme dan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara serta menghayati warisan budaya negara.

