Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim, Prof. Madya Ts. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa, Dr. Mohamad Ihsan Muhamad Ismail dan Syarifah Sakina Nasran
Hulu Selangor, 2 Jun 2025- Inisiatif rendah karbon terus diperluas oleh Jabatan Geografi dan Alam Sekitar (JGAS), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris menerusi kerjasama bersama Komuniti Hulu Selangor pada 2 Jun lalu, melalui penganjuran Program “Sisa Karbon & Iklim: Bagaimana Kitar Semula Menyelamatkan Dunia”.
Program ini dianjurkan oleh pelajar Kumpulan 3 (Kumpulan B) kursus HGF3073 Kaji Iklim, bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan penting amalan kitar semula dalam menyokong usaha pengurangan karbon serta pemeliharaan alam sekitar.
Bertempat di Kampung Pasir Puteh, Kalumpang, pelbagai aktiviti menarik telah dilaksanakan yang menggabungkan elemen pendidikan, kreativiti dan semangat gotong-royong. Usaha ini bukan sahaja memupuk kesedaran terhadap isu alam sekitar, malah turut menyemai budaya prihatin dan amalan hijau secara lestari dalam kalangan komuniti setempat.

Program dimulakan dengan sesi ice breaking yang interaktif dan unik antara ahli jawatankuasa dan peserta, yang melibatkan aktiviti mengasingkan sampah mengikut warna tong yang betul. Sesi ini bertujuan mendidik peserta mengenai pengurusan sisa yang betul serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemisahan sisa dari rumah. Selain memberi pendedahan awal yang menyeronokkan kepada amalan kitar semula, aktiviti ini turut memupuk semangat kerjasama dalam kalangan peserta.

Sesi Awareness Talk yang disampaikan oleh Dr. Mohd Ihsan telah membuka minda para peserta dengan pencerahan menyeluruh mengenai isu sisa karbon dan kaitannya dengan perubahan iklim. Dalam sesi tersebut, beliau menjelaskan secara terperinci bagaimana pelepasan karbon hasil aktiviti manusia khususnya melalui pembakaran bahan api fosil dan penebangan hutan yang menjadi antara punca utama peningkatan suhu global.
Dr. Mohd Ihsan turut menekankan bahawa amalan kitar semula bukan sekadar langkah untuk mengurangkan jumlah sisa, tetapi juga merupakan strategi penting dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang memerangkap haba di atmosfera dan menyumbang kepada perubahan iklim.

Menariknya, sesi ketiga menampilkan Eco Fashion Runway iaitu satu persembahan fesyen inovatif menggunakan bahan kitar semula. Objektif utama sesi ini adalah untuk menunjukkan bahawa kitar semula tidak hanya terhad kepada barangan domestik, malah mampu menjadi medium kreativiti dan ekspresi seni. Para peserta memperagakan pakaian yang direka khas daripada bahan buangan, sekali gus memupuk minat masyarakat terhadap gaya hidup hijau yang moden dan lestari.
Program diteruskan dengan aktiviti gotong-royong, yang bukan sahaja memberi peluang untuk mengaplikasikan amalan kitar semula secara langsung malah turut mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta. Aktiviti ini menjadi simbol kepada semangat perpaduan dalam usaha melestarikan alam sekitar.
Program ini bukan sekadar sebuah acara, tetapi merupakan satu komitmen bersama terhadap alam dan juga janji kepada generasi masa hadapan. Bersama komuniti Kampung Pasir Puteh, Kalumpang, kita membuktikan bahawa setiap langkah kecil yang diambil hari ini adalah hadiah berharga untuk hari esok yang lebih hijau. Jadilah sebahagian daripada perubahan ini, kerana dunia yang lebih bersih, lestari dan berdaya tahan bermula dengan kita semua.
