Oleh: Shakila Che Dahalan, Yunus Sauman, Khairi Arifin, Ahmad Farhan Abdullah@Zakaria dan Nurul Hanan Nazri 

MIRI, 5 Ogos 2025 – Satu inisiatif penyelidikan yang dibiayai melalui geran penyelidikan jangka pendek bernilai RM 10,000 telah membuka lembaran baharu dalam pemetaan sejarah komuniti Bugis di Malaysia Timur. 

Tujuan utama penyelidikan untuk mengenal pasti dan mendokumentasikan nilai sejarah masyarakat Bugis yang telah menetap di Sarawak, serta membina asas kepada inisiatif pendigitalan sumber sejarah komuniti tersebut.

Kajian ini merupakan yang pertama seumpamanya dijalankan oleh institusi pengajian tinggi awam yang menumpukan secara khusus kepada warisan dan identiti Bugis di Sarawak.

Menerima tanggungjawab akademik, barisan penyelidik telah mengadakan kajian lapangan selama beberapa hari ke kampung masyarakat Bugis yang merangkumi pengumpulan data kuantitatif serta pengumpulan data kualitatif melalui temubual bersemuka dengan komuniti setempat. 

Penemuan awal menunjukkan dapatan yang menyokong susur galur pergerakan masyarakat Bugis ke Sarawak. Komuniti Bugis di Sarawak juga mempunyai persamaan adat dan budaya Sulawesi.

Projek penyelidikan ini diketuai oleh Dr. Shakila Che Dahalan, bersama Prof. Khairi Arifin, Dr Yunus Sauman, dan Dr Ahmad Farhan Abdullah@Zakaria daripada Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), serta kolaborasi penyelidik luar iaitu Dr Sitti Hasnah Bandu dan Dr Alwi Daud.   

Menurut Ketua Kampung Muhibbah Ladang 3, En. Hassan Malik, lawatan dan kajian oleh Jabatan Sejarah, FSK UPSI sangat dialu-alukan untuk mendedahkan warisan budaya yang sangat kaya yang masih hidup dalam komuniti Bugis di Sarawak.

“Kami sepenuhnya memberi kerjasama terhadap usaha UPSI dalam penyelidikan. Tanpa usaha UPSI untuk membuat dokumentasi dan pendigitalan, banyak daripada nilai sejarah dan naratif ini akan hilang ditelan zaman.”

Sebagai sebahagian daripada hasrat penyelidikan, projek ini akan mengorak langkah ke arah pendigitalan sumber sejarah komuniti Bugis melalui pembangunan bahan dokumentasi, penghasilan kandungan visual seperti dokumentari, dan perancangan pembinaan naratif Sejarah Bugis, Sarawak.

Langkah ini bukan sahaja bertujuan memelihara warisan untuk generasi akan datang, malah menyokong transformasi pendidikan sejarah di Malaysia melalui teknologi digital.

 

Dr Sitti Hasnah menunjukkan makanan tradisi orang Bugis
Lawatan ke rumah penduduk kampung
Sesi temubual bersama ketua kampung

Kejayaan fasa awal kajian ini membuktikan komitmen UPSI dalam menerajui penyelidikan sejarah berasaskan komuniti melalui pendekatan interdisiplin dan berimpak tinggi.

Dengan pengalaman luas dalam kajian sejarah dan pendidikan, UPSI melalui Jabatan Sejarah meletakkan dirinya sebagai peneraju dalam pemeliharaan warisan etnik di Malaysia.

Jabatan Sejarah, FSK UPSI akan turut menjadi universiti pertama di Malaysia menerbitkan hasil penyelidikan ini dalam bentuk buku ilmiah, artikel jurnal, serta bahan pendidikan berformat digital.

Hasil ilmiah ini akan digunakan sebagai sumber rujukan dalam bidang sejarah, antropologi, dan pendidikan warisan khususnya di Malaysia