JOHOR BAHRU, 14 Ogos – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Kajian Inklusif bagi Komuniti dan Orang Kurang Upaya (CIRCLE) Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor bagi memperkukuh ekosistem pendidikan khas, inklusif dan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini.
Program selama dua hari itu merangkumi sesi libat urus, pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) serta lawatan ke sekolah-sekolah terpilih yang mengendalikan pengoperasian dua sesi bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Pada hari pertama, sesi libat urus secara hibrid melibatkan CIRCLE, JPN Johor dan semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Johor membincangkan perkongsian kepakaran dalam meningkatkan profesionalisme akademik serta membangunkan persekitaran pendidikan khas berkualiti.
Majlis turut menyaksikan pemeteraian Surat Hasrat antara JPN Johor dan FPM UPSI melalui CIRCLE sebagai komitmen memperkukuh jaringan kolaborasi strategik dalam bidang berkenaan.
Hari kedua menyaksikan delegasi UPSI, JPN Johor dan PPD Pasir Gudang melawat tiga buah sekolah iaitu SMK Kota Masai, SK Kopok dan Sekolah Agama Pendidikan Khas Johor Bahru bagi meninjau pelaksanaan model kelas dua sesi PPKI.



Model itu dilihat berkesan dalam mengurangkan kepadatan murid, meningkatkan keselesaan pembelajaran dan memberi akses pendidikan lebih inklusif kepada murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).
Pengarah CIRCLE UPSI, Dr Hasrul Hosshan berkata kolaborasi tersebut memberi impak positif terhadap kualiti pendidikan serta membuka peluang pembangunan potensi MBPK secara holistik.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas JPN Johor, Haji Yahaya Ali berkata kerjasama tersebut mampu membawa perubahan positif dan inovasi dalam pengoperasian dua sesi PPKI, sekali gus membantu menyelesaikan isu lambakan MBPK.

