Sydney, 19 Oktober 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Centre for Inclusive Research on Community and Disability (CIRCLE) melaksanakan Program Eksekutif Pembangunan Modul dan Kaedah Latihan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) di Australia dari 18 hingga 25 Oktober 2025.

Program ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Education Malaysia Australia, Universiti Sydney melalui Centre for Disability Research and Policy (CDRP), serta organisasi masyarakat Islam tempatan termasuk Australian National Imams Council (ANIC) dan Masjid Darul Imaan, Sydney.

Sesi Libat Urus Bersama Komuniti

Pada 19 Oktober 2025, delegasi Malaysia mengadakan sesi Community Programme di Masjid Darul Imaan yang melibatkan pengurusan masjid, NGO Melayu-Islam serta ahli komuniti di Sydney.

Antara pengisian utama ialah:

  • Ucapan wakil ILIM, JAKIM dan Pengarah CIRCLE, UPSI
  • Pembentangan objektif lawatan JAKIM & UPSI
  • Perkongsian aktiviti komuniti Melayu-Islam di Sydney
  • Dialog mengenai isu Muslim OKU di Australia

Sesi turut disusuli dengan Mini Forum bertajuk “Development of a Muslim Disability Plan in the Context of Malaysia & Australia” yang menekankan kepentingan membangunkan dasar inklusif merentasi sempadan negara.

Perkukuh Jaringan Antarabangsa

Menurut wakil UPSI, program ini mengukuhkan lagi kedudukan universiti sebagai Pusat Kecemerlangan (HICOE) dalam bidang penyelidikan inklusif. Inisiatif ini juga selari dengan agenda negara untuk memperkasa dasar pendidikan inklusif dan sokongan komuniti kepada golongan OKU.

Penyertaan aktif komuniti Melayu-Islam di Sydney membuktikan kesediaan masyarakat antarabangsa untuk bersama-sama membangunkan Muslim Disability Plan yang lebih menyeluruh dan berdaya saing global.

Simbolik Kerjasama

Sebagai tanda persahabatan, delegasi UPSI dan JAKIM turut menyampaikan cenderamata kepada pihak Masjid Darul Imaan. Kehadiran masyarakat setempat menyerlahkan sokongan kuat terhadap usaha memperkasa pendidikan dan pembangunan komuniti OKU di Malaysia serta Australia.

Program Eksekutif Pembangunan Modul dan Latihan OKU di Australia ini sekali lagi membuktikan komitmen UPSI untuk menjadi peneraju dalam pendidikan inklusif bertaraf antarabangsa, memposisikan universiti sebagai pusat rujukan serantau dalam bidang penyelidikan, latihan, dan polisi berkaitan komuniti OKU.