Oleh : Dr. Mohamad Albaree Abdul
Kuala Kangsar, 24 Oktober 2025 – Seramai 20 mahasiswa kursus KAR3913 Final Year Project dari Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyertai Edu-Light USAS International Conference 2025, yang berlangsung di Dewan Auditorium, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).
Program ini merupakan inisiatif ilmiah di bawah Jabatan Sains Kemanusiaan, Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial USAS, dengan kerjasama Fakulti Pembangunan Manusia UPSI, bertujuan memperkukuh kefahaman pelajar terhadap transformasi pendidikan, komunikasi dan kaunseling dalam era Kecerdasan Buatan (AI).
Persidangan antarabangsa bertemakan “Transformasi Era AI: Pendidikan, Kaunseling Kesihatan Mental dan Komunikasi” ini menjadi wadah perkongsian ilmiah yang menghimpunkan pendidik, penyelidik dan pelajar dari pelbagai institusi pendidikan tinggi.



Pelajar UPSI turut tampil membentangkan artikel dan poster ilmiah yang memfokuskan kepada bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak, terutamanya berkaitan pendekatan pembelajaran inovatif, integrasi teknologi dalam bilik darjah prasekolah, serta strategi memperkasa perkembangan holistik kanak-kanak.
Kecemerlangan mahasiswa UPSI turut terserlah apabila tiga penyertaan poster berjaya memenangi Anugerah Poster Terbaik, sekali gus mengiktiraf kemampuan pelajar dalam menonjolkan idea dan inovasi pendidikan awal kanak-kanak secara kreatif dan berimpak tinggi.



Menurut Dr. Mohamad Albaree bin Abdul, Penyelaras Kursus KAR3913 Final Year Project, pencapaian tersebut menunjukkan tahap kesediaan pelajar UPSI bersaing di pentas antarabangsa melalui hasil penyelidikan yang berkualiti dan relevan dengan isu pendidikan semasa.
“Kemenangan ini bukti bahawa pelajar kita bukan sahaja mampu menghasilkan idea bernas, tetapi juga berani mengetengahkannya di platform ilmiah antarabangsa. Ia selari dengan hasrat universiti untuk melahirkan graduan yang berfikiran kritis dan berjiwa pendidik,” katanya.
Antara pengisian penting program termasuklah sesi dialog dan forum berkaitan aplikasi AI dalam pendidikan, kaunseling dan komunikasi, yang disampaikan oleh pakar-pakar dalam bidang masing-masing. Pengisian tersebut turut menekankan keperluan mengimbangi kemajuan digital dengan nilai-nilai kemanusiaan dan keislaman dalam membentuk generasi pendidik yang beretika dan berjiwa pendidik.
Menurut Rabi’atul Humairah binti Mohd Afandi, Pengarah Program dan wakil pelajar UPSI, pengalaman membentang hasil kajian di pentas antarabangsa telah memberikan keyakinan dan kesedaran baharu kepada dirinya serta rakan seperjuangan.
“Pengalaman membentang di hadapan ahli akademik dan peserta antarabangsa sangat berharga. Kami belajar bagaimana untuk menjelaskan hasil kajian secara profesional dan menerima pandangan baharu yang membina. Ia memberi inspirasi untuk terus menulis dan berkongsi ilmu pada masa hadapan,” katanya.
Selain pembentangan dan sesi ilmiah, peserta turut menyertai lawatan ilmiah ke Makmal Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Makmal Kaunseling Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di samping mengunjungi beberapa lokasi bersejarah sekitar Kuala Kangsar.
Aktiviti ini bertujuan memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar melalui pendekatan luar bilik kuliah, di samping memberi pendedahan kepada nilai warisan, budaya serta konteks pendidikan komuniti setempat.


Lawatan ini turut memberi peluang kepada pelajar memahami hubungan antara pembangunan komuniti dan sistem pendidikan tempatan, selaras dengan semangat pembelajaran berasaskan pengalaman yang diterapkan dalam kursus KAR3913 Final Year Project.
Penganjuran Edu-Light USAS International Conference 2025 menjadi bukti komitmen mahasiswa UPSI dalam memperkukuh keilmuan dan profesionalisme keguruan. Pengalaman membentang di persidangan antarabangsa, diiringi kejayaan merangkul anugerah dan penyertaan dalam lawatan ilmiah, telah memperkukuh keyakinan serta kemahiran pelajar sebagai bakal pendidik yang berpengetahuan, inovatif dan berjiwa insan.
