Oleh: Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi

Pasir Gudang, 12 Ogos 2025- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan lawatan kerjasama strategik ke Jabatan Pendidikan Negeri Johor dalam rangka perkongsian kepakaran dan peningkatan profesionalisme akademik berkaitan dunia pendidikan khas, inklusif dan komuniti. Siri lawatan berlangsung di SMK Kota Masai dan SK Kopok, Pasir Gudang.

Ia merupakan hasil kerjasama di antara Pusat Kajian Inklusif bagi Komuniti dan Orang Kurang Upaya (CIRCLE) UPSI dan Sektor Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Negeri Johor.

Pengarah CIRCLE UPSI, Dr Hasrul Hosshan berkata, “UPSI sebagai Universiti BITARA akan sentiasa membuka ruang diskusi dan kerjasama bagi membangun ekosistem pendidikan yang lebih berkualiti dalam membantu meningkatkan kebolehpasaran dan kemenjadian murid khususnya dalam dunia pendidikan khas,” katanya.

Ketua Penolong Pengarah, SPK JPN Johor Yahaya Ali, menyatakan bahawa inisiatif ini adalah untuk meningkatkan profesionalisme akademik dalam pengurusan pendidikan khas.

“Inisiatif ini menjadi bukti kesungguhan kita dalam meningkatkan ekosistem pendidikan khas Negeri Johor malahan ia juga mampu membuka wawasan baru untuk kita semua saling berganding bahu menjadi satu langkah penting ke arah masa depan yang lebih cerah,” katanya.

Turut hadir bersama dalam siri lawatan pegawai-pegawai dari UPSI, JPN Johor dan PPD Pasir Gudang.

Majlis Menandatangani Jaringan Kolaborasi antara CIRCLE UPSI & PPKI SMK Kota Masai

Sebelum ini, SMK Kota Masai merupakan antara perintis awal dalam pengoperasian model kelas dua sesi Program Pendidikan Khas Integrasi.

Menurut Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Kota Masai, Cikgu Jamilah Ali berkata, pelaksanaan model kelas dua sesi PPKI sebagai intervensi dalam masalah kepadatan murid pendidikan khas.

“Dalam memastikan keselesaan MBPK untuk menikmati pembelajaran yang sempurna, model ini menjadi intervensi terbaik untuk kita memberi akses lebih besar kepada MBPK.”

“Pihak sekolah sangat berterima kasih atas kehadiran pihak UPSI, SPK JPN Johor dan PPD Pasir Gudang. Saya juga berharap agar kolaborasi ini akan memberikan impak yang besar dalam dua pendidikan khas” katanya semasa sesi pembentangan.

Dengan semakin berkembangnya era digitalisasi dalam dunia pendidikan, peningkatan ruang kolaborasi strategik juga perlu diperluaskan agar kesemua pihak dapat mengambil peranan dan berganding bahu melestarikan budaya pendidikan cemerlang dan menerajui pendidikan  yang lebih berkualiti.