Oleh: Ramli Mosmin
IPOH, 11 September 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencatat sejarah tersendiri apabila pasukan berbasikalnya menghadiahkan pingat pertama buat universiti itu sejak menyertai temasya Sukan Universiti Awam Kebangsaan (SUKANUN).
Pasukan berbasikal UPSI meraih pingat perak dalam acara Criterium Berpasukan pada kejohanan yang berlangsung di UiTM Seri Iskandar, sekali gus menafikan cabaran beberapa pasukan kuat lain termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Skuad itu dibarisi Ahmad Ritaudin Hamzah, Muhammad Khairul Izwan Mohd Basri, Mohamad Amin Idris dan Mohamad Amiruddin Ismail, dengan bimbingan pengurus pasukan Ramli Mosmin serta sokongan mekanik Meor Ahmad Shahril Meor Ahmad Nazizan.
Walaupun sekadar meraih perak, pasukan UPSI hanya ketinggalan lapan saat di belakang tuan rumah UiTM yang mengekalkan rekod cemerlang mereka sejak beberapa tahun lalu.
Menurut ketua pasukan Ahmad Ritaudin, pencapaian itu adalah hasil disiplin tinggi serta latihan berterusan tanpa menunggu kejohanan besar.
“Kami percaya kunci kepada kejayaan ini adalah komitmen untuk terus berlatih walaupun tanpa jaminan kejohanan. Apa yang penting ialah kesungguhan seluruh pasukan untuk meletakkan nama UPSI di pentas kebangsaan.
“Kejayaan ini dianggap lebih bermakna kerana UPSI berjaya menewaskan DBKL yang dibarisi bekas pelumba negara.
Tambah beliau, kejayaan itu menjadi titik permulaan kepada pasukan berbasikal UPSI untuk terus memburu kejayaan lebih besar pada edisi SUKANUN akan datang.
Sementara itu, Ramli berkata kejayaan tersebut wajar dijadikan inspirasi kepada pelumba baharu untuk terus mengekalkan kecemerlangan UPSI pada masa akan datang.
“Pencapaian ini bukan sekadar pingat perak, tetapi simbol kekuatan mental, semangat berpasukan dan disiplin yang tinggi.
“Saya mahu pelumba muda menjadikan kejayaan ini sebagai motivasi untuk melangkah lebih jauh, malah berusaha menandingi pencapaian senior mereka,” katanya.

