Oleh: Nur Athirah binti Marjuhum
Tanjong Malim, 6 Oktober 2026 – Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba (MMKZ) sidang 2026/2027 dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya menganjurkan Program Ramah Mesra Za’ba 2026/2027 bertempat di Dewan Kolej Za’ba. Program dua malam yang berlangsung pada 5 dan 6 Oktober 2026 ini dianjurkan secara khusus sebagai platform utama untuk memberi pendedahan menyeluruh kepada para penghuni baharu dan sedia ada berkenaan maklumat penting, fasiliti serta garis panduan dan peraturan kolej kediaman.
Penganjuran program ini bermatlamat untuk menyantuni seluruh warga Kolej Za’ba dengan menghimpunkan Pengetua Kolej, barisan felo kediaman, pegawai pentadbiran, pimpinan Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba (MMKZ) serta lebih 600 orang mahasiswa/i penghuni. Melalui inisiatif ini, hubungan silaturrahim serta persefahaman yang lebih erat dan harmoni dapat dipupuk demi mewujudkan persekitaran kolej yang inklusif dan sejahtera. Selain itu, program ini bertujuan untuk memperkenalkan barisan pengurusan dan jawatankuasa kolej secara bersemuka, sekali gus memudahkan para pelajar merujuk serta mendapatkan bantuan dari pelbagai aspek seperti kebajikan, keselamatan dan perkhidmatan sokongan sepanjang tempoh pengajian mereka.
Di samping itu, penganjuran program ini turut berperanan penting dalam meningkatkan kemahiran insaniah (soft skills), kepimpinan, serta keyakinan diri mahasiswa, terutamanya ahli jawatankuasa pelaksana yang terlibat secara langsung dalam merancang, mengurus dan mengendalikan majlis rasmi. Pendekatan ini secara tidak langsung mendidik pelajar mempraktikkan ilmu pengurusan dan komunikasi profesional selari dengan aspirasi pembangunan modal insan universiti.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan berserta taklimat khas oleh Pengetua Kolej Za’ba, Encik Yusop bin Ahmad. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pihak pengurusan kolej sentiasa berdedikasi dan berusaha berterusan bagi memastikan persekitaran Kolej Za’ba sentiasa berada dalam keadaan selesa, selamat dan kondusif. Beliau turut menekankan hasrat kolej untuk menjadikan suasana kediaman ini terasa seperti rumah sendiri iaitu sebuah tempat yang mesra dan tenang buat para mahasiswa berehat serta melepaskan lelah selepas seharian bertungkus-rumus menimba ilmu di bilik kuliah. Di samping itu, beliau turut menggalakkan komunikasi dua hala dan semangat kekitaan antara pihak pentadbiran dan penghuni demi kesejahteraan bersama.
Turut disampaikan taklimat Hal Ehwal Keselamatan oleh Encik Sasigaran A/L Moneyam selaku wakil Felo Kolej Za’ba, yang merangkumi etika berpakaian, peraturan tatatertib serta langkah-langkah keselamatan kendiri di dalam kawasan kolej kediaman. Sesi soal jawab interaktif bersama Felo Blok B/Penolong Pegawai Tadbir, Encik Affandie bin Mohammed turut memberi ruang kepada para mahasiswa untuk mengemukakan sebarang kemusykilan secara terus kepada pihak pengurusan.
Selain pengenalan kepada barisan pentadbiran kolej, majlis turut dimeriahkan dengan tayangan video korporat dan perarakan masuk barisan kepimpinan Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba (MMKZ) sidang 2026/2027. Sesi ramah mesra MMKZ bersama penghuni digunakan sepenuhnya untuk menyebarkan pelbagai maklumat aktiviti anjuran MMKZ seperti program Jom Turun ke Masjid dan Karnival Sukan Za’ba.



Pengarah Program, Saudara Muzakkir Sofiy bin Mohd Saari melahirkan rasa syukur atas sambutan hangat dan kerjasama erat yang ditunjukkan oleh semua pihak. Hasil maklum balas program menunjukkan majoriti peserta amat bersetuju bahawa program ini berjaya mengukuhkan silaturrahim, meningkatkan tahap keprihatinan pentadbiran serta membantu mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan di kolej kediaman. Penganjuran program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) merangkumi SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 5 (Kesaksamaan Gender), SDG 10 (Mengkuri Kesaksamaan), SDG 16 (Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh), serta SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat).
