Oleh : Muhammad Faathir Aiman Muhammad
Tanjong Malim – Bagi memastikan kesejahteraan, keharmonian, dan disiplin penghuni blok sentiasa terpelihara, Exco Blok Kediaman 5 & Blok Kediaman 6 Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) telah menganjurkan program Perjumpaan Felo Bersama Penghuni Blok Kediaman 5 dan Blok Kediaman 6 bertempat di Dewan Harun Aminurrashid. Program ini menghimpunkan para penghuni siswa dari Blok 5 (INTEGRA) dan Blok 6 (AERIAL) bagi memulakan sesi akademik dengan kefahaman tatatertib serta matlamat sahsiah yang jelas.
Acara kemudiannya diteruskan dengan agenda teras iaitu ucapan dan taklimat khas daripada Felo Blok Kediaman 5 dan 6 yang dipimpin oleh Dr.Muhammad Ridhwan bin Sarifin (Felo Blok 6) dan En. Mohd Izzat bin Abdul Rahman (Felo Blok 5).
Melalui taklimat tersebut, fokus utama telah diberikan kepada empat teras penting kehidupan berkolej iaitu pematuhan peraturan kolej kediaman, aspek keselamatan harta benda serta diri, kebajikan mahasiswa, dan pengoptimuman kemudahan perkhidmatan kolej yang disediakan pihak universiti. Para penghuni diingatkan untuk sentiasa menjaga etika pergaulan, kebersihan blok, dan mematuhi etika berpakaian serta peraturan keluar masuk kampus.
Setelah tamat sesi taklimat felo, program diteruskan dengan sesi soal jawab (Q&A) yang membuka ruang kepada para pelajar untuk mengutarakan sebarang pertanyaan dan membangkitkan isu-isu penyelenggaraan semasa di blok mereka. Sesi perbincangan dua hala ini disambut baik oleh barisan pentadbiran dengan memberi maklum balas yang telus dan cadangan penyelesaian secara terus.
Program yang penuh bermakna ini melabuhkan tirainya sekitar jam 10.30 malam dengan sesi fotografi beramai-ramai yang melibatkan barisan felo, AJK pengelola blok, serta seluruh penghuni Blok 5 dan Blok 6 sebagai simbol kesepakatan dan kejelekitan warga KHAR.

dalam sesi perkenalan diri kepada
para penghuni kolej KHAR


Majlis bermula seawal jam 8.00 malam dengan pendaftaran kehadiran mahasiswa bagi pengisian rekod MyCHAMP serta pengecapan buku Aktiviti KHAR. Suasana dewan kemudiannya dihidupkan dengan sesi informal suai kenal antara barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) Blok bersama para penghuni kolej. Sesi pengenalan secara santai ini membolehkan warga blok mengenali pucuk pimpinan blok masing-masing dengan lebih dekat, sekali gus memudahkan urusan penyampaian maklumat dan aduan kebajikan sepanjang berada di kolej kediaman.
Bagi menyemarakkan lagi majlis, hadirin disajikan dengan slot persembahan nyanyian pembukaan oleh seorang wakil mahasiswa yang tampil berbaju Melayu tradisional lengkap bersamping. Persembahan lagu tersebut bukan sahaja memeriahkan suasana dewan, malah menjadi selingan santai sebelum para pelajar memulakan agenda taklimat rasmi bersama pihak pengurusan felo.
