Tanjong Malim, 23 September 2025 – Seramai 50 orang belia komuniti Muallim menyertai Kursus Asas Pengurusan Ayam Penelur Siri 1 di dalam Program Pendayaan Komuniti Awam @UniMADANI – Belia Muallim Berdaya: Transformasi Ekonomi dan Keterjaminan Makanan Melalui Projek Ternakan Ayam Penelur yang berlangsung di Ruang Pembelajaran RMIC, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Program anjuran Fakulti Teknikal dan Vokasional UPSI dengan sokongan pendanaan Kementerian Kewangan Malaysia ini memberi fokus kepada pembangunan kemahiran keusahawanan dan latihan TVET, sekali gus membuka peluang pendapatan baharu serta memperkukuh keterjaminan makanan di peringkat komuniti setempat.

Telur ayam merupakan antara makanan asas rakyat Malaysia dengan purata keperluan sebanyak 30 juta biji sehari atau 930 juta biji sebulan. Walaupun Malaysia merupakan pengeluar utama di rantau ini, negara masih mengimport lebih 8 juta biji telur pada tahun 2023. Namun, industri ayam penelur berdepan cabaran besar apabila kos makanan ternakan, yang merangkumi 70 peratus daripada kos operasi, melonjak mendadak susulan krisis global. Pandemik COVID-19, konflik Russia-Ukraine dan kenaikan nilai USD menyebabkan harga soya serta jagung meningkat lebih 100 peratus, sekali gus memaksa ramai penternak kecil menghentikan operasi. Keadaan ini membawa kepada krisis kekurangan telur sejak Januari 2022 sehingga kerajaan terpaksa menyalurkan subsidi berjumlah RM1.233 bilion bagi tempoh Februari hingga September tahun sama.

Menyedari cabaran ini, program di UPSI dirangka untuk memperkasakan belia Muallim dengan ilmu dan kemahiran asas penternakan ayam penelur. Peserta diberi latihan mengenai pengurusan reban separa tertutup, kawalan kesihatan, formulasi makanan ternakan alternatif secara kendiri serta pendedahan kepada aspek keusahawanan lestari.

Kursus Asas Pengurusan Ayam Penelur Siri 1 ini adalah bertujuan memberikan latihan kemahiran pengurusan ternakan ayam penelur secara sistematik termasuk penyediaan sangkar dan kawalan kesihatan.Peserta  diberikan penerangan mengenai pengurusan harian ternakan ayam penelur supaya dapat menghasilkan jumlah telur yang maksima.

Kursus Asas Pengurusan Ayam Penelur Siri 2 akan datang melibatkan latihan amali di lapangan untuk membina formulasi makanan ternakan ayam penelur secara kendiri DIY. Manakala Kursus Asas Pengurusan Ayam Penelur Siri 3 peserta akan diberi bimbingan mengenai keusahawanan lestari dalam penghasilan telur ayam.

Selain mengangkat kemahiran praktikal, program ini turut mendokong aspirasi Malaysia MADANI, khususnya dari segi kemampanan, kesejahteraan, daya cipta dan ihsan. Ia membuka peluang kepada belia meningkatkan taraf hidup, mengurangkan kos sara hidup melalui penghasilan telur sendiri, meneroka inovasi makanan alternatif berasaskan sisa pertanian dan bahan organik, serta menerima sokongan penuh daripada universiti dalam membimbing pembangunan komuniti.

Pada masa sama, inisiatif ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ia menyokong usaha membasmi kelaparan dengan memastikan akses berterusan kepada protein, menggalakkan penggunaan sumber secara bertanggungjawab, dan mengurangkan jejak karbon melalui amalan penternakan berskala kecil yang memanfaatkan sisa makanan.

Para peserta yang memenuhi syarat kelayakan juga akan menerima kit permulaan ternakan berupa ayam penelur betina bersama bekalan makanan fasa awal pada akhir program tahun hadapan supaya ilmu yang dipelajari dapat terus diamalkan di kawasan masing-masing.Dengan pelaksanaan program ini, belia Muallim bukan sahaja berpeluang menjana pendapatan konsisten tetapi juga berperanan penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara. Model pembangunan komuniti seperti ini diyakini mampu diperluaskan ke daerah lain, sekali gus menyokong aspirasi kerajaan dalam membentuk masyarakat yang lebih mandiri, inovatif dan berdaya saing.