Pasukan UPSI bersama mentor dan wakil UPSI bergambar selepas menerima Anugerah Emas dalam Pertandingan EMOVE 2025 di The Katerina Hotel, Batu Pahat, Johor.

Oleh: Dr Abdul Muqsith Ahmad

BATU PAHAT, JOHOR, 30 Oktober 2025 – Pelajar Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengharumkan nama universiti apabila berjaya meraih Anugerah Emas (Gold Award) dalam Pertandingan Usahawan Inovasi Teknousahawan Electric Mobile Vehicle (EMOVE) 2025 yang berlangsung di The Katerina Hotel, Batu Pahat, Johor dari 28 hingga 30 Oktober lalu.

Pasukan UPSI yang terdiri daripada Muhammad Daniel Asyraf, Muhammad Norhysyam Umar, Amirul Hakimi Ahmad Termezi, Muhammad Adam Muhammad Nurul Frarizam dan Muhamad Mifzal Hazim Hassan tampil mempersembahkan projek inovatif bertajuk EVXplore Board, yang berjaya memikat perhatian panel juri dengan konsep interaktif dan berimpak tinggi.

Pertandingan berprestij di peringkat kebangsaan itu merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). EMOVE menjadi platform penting bagi mencungkil potensi pelajar institusi pengajian tinggi dalam bidang teknologi mobiliti elektrik dan keusahawanan inovatif, seiring aspirasi negara menuju pembangunan lestari dan Revolusi Industri 4.0.

Dibimbing oleh Dr. Abdul Muqsith Ahmad selaku mentor utama dengan sokongan erat daripada FTV dan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE), projek EVXplore Board mengetengahkan integrasi teknologi elektrik dan pembelajaran interaktif yang membantu pelajar memahami konsep teknikal secara praktikal serta menyeronokkan.

Selain aspek teknikal, projek ini turut menekankan elemen keusahawanan TVET dengan memberi pendedahan kepada strategi pengkomersialan produk dan pembangunan pasaran mampan.

Kejayaan ini merupakan hasil usahasama strategik antara FTV dan EDGE, dua entiti penting di UPSI yang memainkan peranan pelengkap dalam pembangunan potensi pelajar. FTV memberi fokus kepada reka bentuk dan pembinaan inovasi, manakala EDGE memperkukuh kemahiran persembahan, strategi pasaran dan nilai tambah keusahawanan pelajar.

Selain mentor utama, projek ini turut menerima bimbingan daripada barisan tenaga akademik berpengalaman termasuk Prof. Madya Dr. Zaliza Hanapi, Ir. Dr. Azizul Qayyum Basri, Helmi Mukhsin, Salehuddin Dalmi dan Amir Azril Mohd Ali.

Sinergi ini membuktikan keupayaan UPSI melahirkan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga kreatif, inovatif dan berdaya niaga tinggi – selaras dengan visi universiti sebagai peneraju pendidikan unggul di rantau ini.

Menurut Dr. Muqsith, kejayaan tersebut mencerminkan kemampuan pelajar UPSI untuk bersaing di peringkat nasional hasil gabungan kemahiran teknikal dan nilai keusahawanan.

“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan pendekatan pembelajaran berasaskan projek (project-based learning) serta kolaborasi antara fakulti dan pusat keusahawanan dalam membentuk pelajar TVET yang holistik, inovatif dan bersedia menghadapi dunia pekerjaan sebenar,” katanya.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Zaliza Hanapi menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian tersebut yang dianggap sebagai petunjuk jelas keupayaan UPSI melahirkan pelajar TVET yang berfikiran kritikal, kreatif serta berpaksikan keusahawanan.

Ketua pasukan, Muhammad Daniel Asyraf, turut meluahkan rasa syukur dan bangga atas kemenangan itu.

“Penyertaan dalam EMOVE 2025 memberikan kami pengalaman yang amat berharga. Kami bukan sahaja belajar tentang aspek teknikal dan inovasi, tetapi juga bagaimana membentangkan idea secara profesional serta memasarkan produk dengan strategi yang berkesan. Kejayaan ini adalah hasil kerja berpasukan dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada FTV dan EDGE,” ujarnya.

Beliau turut menambah bahawa pengalaman tersebut telah meningkatkan keyakinan diri mereka sebagai pelajar TVET UPSI untuk terus mencipta inovasi baharu dan meneroka peluang keusahawanan teknologi pada masa hadapan.

Kejayaan pasukan ini bukan sekadar pengiktirafan terhadap kecemerlangan inovasi pelajar, tetapi juga simbol kekuatan ekosistem pembelajaran UPSI yang menekankan keseimbangan antara kemahiran teknikal, kreativiti dan keusahawanan.

Melalui kolaborasi berterusan antara FTV dan EDGE, UPSI kekal komited melahirkan graduan yang berpengetahuan, inovatif serta berkeupayaan menjadi penggerak industri masa depan, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Pelan Strategik KPT ke arah membina generasi berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat global.