Oleh: Nur Baiti Iman Nor Azmi, Mohd Aiman Zafri Mohd Nazri, Ahmad Buqhari Hakimi Azuri, Muhammad Aqil Akmal Jairan, Muhammad Syakir Ikhwan Mohd Khazdi dan Prof Madya Dr Shakinaz Desa.
Slim River, 5 November 2025 – Pasukan FSM Vibe Coder, yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Shakinaz Desa dari Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah menjalankan bengkel interaktif bertajuk “Aplikasi AI Mudah” sebagai sebahagian daripada program SciTech4U – Kem STEM 2025, yang dianjurkan oleh Kolej Vokasional Slim River (KVSR) dengan tema “Membina Minda Inovatif Melalui Pengetahuan dan Inspirasi.”
Bengkel ini berjaya menarik hampir 120 pelajar daripada pelbagai program Sijil dan Diploma. Turut serta sebagai fasilitator ialah ahli pasukan FSM Vibe Coder, iaitu Nur Baiti Iman binti Nor Azmi, Mohd Aiman Zafri bin Mohd Nazri, Ahmad Buqhari Hakimi bin Azuri, Muhammad Aqil Akmal bin Jairan, dan Muhammad Syakir Ikhwan bin Mohd Khazdi. Mereka merupakan pelajar jurusan AT11, Sarjana muda Pendidikan Biologi, semester 3.



Sepanjang bengkel tersebut, para pelajar diperkenalkan dengan konsep asas kecerdasan buatan (AI), etika penggunaan AI, aplikasi AI dalam pembelajaran, serta teknik asas untuk mencipta kod aplikasi interaktif. Suasana bengkel dipenuhi dengan keterujaan apabila para pelajar berjaya membina aplikasi pembelajaran mereka sendiri dengan mudah dan menyeronokkan.
Seorang peserta, Muhammad Ammar, menyatakan bahawa beliau tidak menyangka membina aplikasi pembelajaran boleh dilakukan dengan begitu mudah dan menyeronokkan. Sementara itu, Ikmal, seorang pelajar Diploma Teknologi Kimpalan, berkongsi keterujaannya setelah berjaya mencipta aplikasi permainan pendidikan dan menyatakan hasratnya untuk memperkenalkannya kepada komuniti pelajar kimpalan, Welder.
Turut hadir untuk meninjau aktiviti pelajar, ialah Dr. Jimmy Chong dari Jabatan Teknologi Mekanikal dan Pembuatan. Beliau mengagumi keupayaan pelajar KVSR menghasilkan pelbagai aplikasi pembelajaran kreatif menggunakan teknologi AI. Beliau secara berseloroh berkata, “Selepas ini, pelajar kena ajar pensyarah pula..!”.
Puan Hajah Zulinah binti Jemon, Pengarah Kolej Vokasional Slim River, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan FSM Vibe Coder dari UPSI STEM Nurturing Center atas sumbangan usaha, kepakaran dan komitmen mereka dalam menjayakan bengkel ini, yang mana telah mencetuskan minat pelajar terhadap teknologi kecerdasan buatan.


Pasukan FSM Vibe Coder juga melahirkan harapan agar pendedahan awal ini akan bertindak sebagai pemangkin untuk membangunkan generasi pelajar vokasional yang celik AI, berfikiran kritis dan kreatif.
Melalui bengkel seperti ini, FSM Vibe Coder dapat memperkasa pelajar dengan kemahiran untuk penggunaan AI yang beretika dan produktif, termasuk kemahiran prompting yang membolehkan pelajar berinteraksi dengan sistem AI dengan bijak dan strategik.
Tambahan pula, pendekatan ini dijangka dapat merangsang kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Ini membolehkan pelajar bukan sahaja menggunakanteknologi, tetapi juga menganalisis, menilai dan mencipta penyelesaian baharu menggunakan AI sebagai alat untuk pembelajaran dan inovasi.
FSM Vibe Coder percaya bahawa literasi AI dan kemahiran berfikir reflektif akan menjadi teras kepada kebolehpasaran graduan masa depan, selaras dengan aspirasi pendidikan negara untuk melahirkan profesional yang mampu memimpin perubahan dalam era digital.
Di akhir program, ahli pasukan FSM Vibe Coder juga menasihati pelajar untuk terus menggunakan pengetahuan yang telah mereka peroleh, meningkatkan kemahiran digital mereka, dan berkongsi pengetahuan dengan rakan sebaya mereka untuk membina komuniti pelajar yang celik teknologi, kreatif, dan berdaya saing.

