Oleh: Ts. Abdul Mueiz Rosli
Tanjong Malim, 10 November 2025 – Kumpulan nasyid kontemporari BiTaRa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi mencuri tumpuan apabila dijemput khas oleh Pejabat Daerah dan Tanah Muallim untuk membuat persembahan sempena Majlis Perasmian Penutup Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Tahun 2025 yang berlangsung di Scholar Suites, UPSI.
Program ini merupakan inisiatif Pejabat Daerah dan Tanah Muallim dengan UPSI sebagai rakan strategik dalam penganjuran bersama pelbagai agensi tempatan, bagi memperkukuh agenda kesejahteraan sosial komuniti setempat.
Jemputan tersebut merupakan satu bentuk penghargaan terhadap kehebatan BiTaRa dalam menghidupkan suasana majlis rasmi melalui persembahan berkualiti tinggi dan berjiwa komuniti.

Kumpulan BiTaRa UPSI yang bernaung di bawah Pusat Kebudayaan UPSI itu diterajui oleh Profesor Madya Dr. Abdul Halim Masnan, Ts. Abdul Mueiz Rosli, dan Mohd Fadhli Rosli merupakan antara kumpulan nasyid tersohor UPSI yang sering dijemput untuk persembahan rasmi di peringkat universiti dan agensi luar.
Mengikut rekod, BiTaRa turut menerima jemputan persembahan luar seperti di Karnival Pendidikan dan Keusahawanan SK Tanjong Malim yang turut menampilkan kumpulan nasyid popular UNIC.
Penglibatan ini mencerminkan komitmen berterusan BiTaRa dalam mengangkat seni suara sebagai medium mendekatkan universiti dengan masyarakat.
Dalam kenyataannya, Profesor Madya Dr. Abdul Halim Masnan menzahirkan rasa syukur atas penghargaan yang diberikan.
“Kami amat berterima kasih kepada Pejabat Daerah dan Tanah Muallim atas jemputan ini. Ia merupakan satu penghormatan besar buat BiTaRa untuk terus memainkan peranan memperkukuh imej UPSI melalui seni suara dan semangat kebitaraan. Kami sentiasa bersedia menyumbang bakat dalam program-program rasmi yang membawa manfaat kepada masyarakat serta mempererat hubungan universiti dengan komuniti,” katanya.

Program ini turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, YB Salina Samsudin; ADUN Slim, YB Zulfadli Haji Zainal; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin; Pegawai Daerah Muallim, Tuan Haji Mohd Sabli Bakri; Pegawai Pendidikan Daerah Muallim serta para tetamu kehormat lain.
Majlis ini menjadi medan simbolik kepada hasrat bersama membina ‘Perak Sejahtera 2030’ seiring aspirasi ‘Malaysia MADANI’.
Dengan persembahan harmoni dan penuh profesionalisme, BiTaRa UPSI terus mengekalkan reputasinya sebagai duta seni universiti yang bukan sahaja berbakti di pentas UPSI, tetapi juga memperkukuh hubungan erat antara dunia akademia dan komuniti setempat.

