Oleh Bazli Razak
TANJONG MALIM, 6 Disember 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mengukuhkan reputasinya di peringkat antarabangsa apabila meraih empat pengiktirafan utama pada Global Education Award 2025 yang berlangsung di Hotel Amari, Bangkok, hari ini.
Acara berprestij yang menghimpunkan pemimpin pendidikan, penggubal dasar dan inovator dari seluruh Asia itu menjadi platform penting bagi meraikan kecemerlangan institusi dan tokoh pendidikan serantau.
UPSI menerima penghormatan tertinggi menerusi anugerah Excellence in Education, sekali gus menandakan pengiktirafan antarabangsa terhadap kecemerlangan universiti itu dalam memacu pembangunan pendidikan berkualiti serta inovasi akademik.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, yang turut menerima anugerah Transformational Vice Chancellor, berkata kejayaan tersebut merupakan satu isyarat jelas bahawa strategi pengantarabangsaan dan reformasi pendidikan yang dilaksanakan universiti berada pada landasan tepat.
“Pengiktirafan ini adalah hasil usaha bersama seluruh warga UPSI yang sentiasa komited menjunjung nilai kecemerlangan dan memperkukuh agenda pendidikan negara. Anugerah ini bukan hanya milik individu, tetapi milik keseluruhan universiti.
Md Amin berkata, kejayaan di pentas antarabangsa itu memberi keyakinan baharu kepada UPSI untuk terus memperluas rangkaian global serta meningkatkan kolaborasi strategik dengan rakan akademik dari Asia dan seluruh dunia.
“UPSI akan terus memperhebat kerjasama rentas negara, terutamanya dalam aspek penyelidikan, mobiliti pelajar, inovasi digital dan pembangunan akademik. Dunia pendidikan bergerak pantas, dan UPSI perlu menjadi antara institusi yang memimpin perubahan itu.
Tambah Md Amin, pengiktirafan tersebut membuktikan kemampuan UPSI muncul sebagai universiti rujukan dalam bidang pendidikan, seiring aspirasi Malaysia untuk menjadi hab pendidikan serantau.
“Ini membuktikan bahawa universiti tempatan mampu berdiri sama tinggi dengan institusi antarabangsa. Kejayaan ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus memperkenalkan inisiatif baharu yang memberi manfaat bukan sahaja kepada UPSI tetapi juga kepada ekosistem pendidikan Asia,” ujar beliau.


Turut mengharumkan nama universiti ialah Prof. Madya Dr. Ridzwan Che Rus, yang menerima anugerah Outstanding Contribution to Education atas sumbangan penting beliau dalam inovasi pedagogi, pembangunan pendidikan digital serta peranan aktif dalam kerjasama rentas negara.
Majlis itu turut menyaksikan Prof. Dr. Mohd Izwan Shahril menerima pengiktirafan antarabangsa melalui anugerah Excellence in Sports Science & Technological Innovation, mengiktiraf sumbangan beliau memacu penyelidikan dan teknologi dalam bidang sains sukan.

