Oleh: Nuramiraasha Rashdan

Tanjong Malim, 14 Disember 2025 – Dengan isu buli yang semakin membimbangkan di seluruh negara, Exco Akademik dan Kerjaya, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Sidang 2025/2026, mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Program SMILE’25 sebagai usaha berskala nasional untuk memerangi budaya buli dan memperkukuh kesejahteraan mental mahasiswa.

Program ini diadakan dengan objektif yang relevan iaitu menyokong matlamat Pembangunan Mampan seperti Matlamat 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraanserta Matlamat 4: Pendidikan Bermutu melalui pencegahan keganasan dan pembinaan komuniti pembelajaran yang inklusif selain memperkukuh inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkasakan ekosistem kampus yang selamat, berdaya tahan dan sejahtera.

Ucapan perasmian oleh Yang Berusaha Dr. Haji Che Anuar bin Che Abdullah, Pengetua Kolej Harun Aminurrashid.
Sesi penyampaian hadiah kepada pemenang bagi Pertandingan Poster Infografik

Muhammad Alif Abd Halim selaku Pengarah Program menyatakan penghargaan atas kejayaan penganjuran program ini. Beliau berharap supaya program SMILE’25: “Strengthen Mind, Inspire Life, End Bullying” ini dapat membuka ruang refleksi dalam diri mahasiswa dan mahasiswi agar lebih peka, berhati-hati dalam tindakan, serta lebih berani untuk menunjukkan sikap saling menjaga.

“Semoga kita pulang bukan hanya dengan pengetahuan yang baharu, tetapi juga dengan keyakinan bahawa setiap warga UPSI berhak didengari, dihargai dan disokong. Semoga tiada sesiapa berasa terpinggir atau menghadapi kesukaran sendirian,” ujarnya.

Diharapkan program-program berbentuk pencegahan dan pendidikan seperti ini dapat diteruskan agar kesejahteraan emosi mahasiswa IPTA/IPTS serta masyarakat dapat diperkukuh secara berterusan.

Yang Berusaha Dr. Haji Che Anuar Che Abdullah, Pengetua Kolej Harun Aminurrashid merasmikan program dalam ucapannya meluahkan rasa bangga terhadap kejayaan penganjuran program penting itu yang berjalan dengan lancar.

“Program yang dijalankan pada hari ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman mengenai kesan-kesan buli, tetapi turut membina keberanian dalam diri mahasiswa untuk bertindak sebagai individu yang menolak budaya buli dalam apa jua bentuk. Semoga usaha ini menjadi titik permulaan untuk mewujudkan persekitaran UPSI yang lebih selamat, harmoni, dan bebas daripada sebarang bentuk buli,” ujar beliau.

Program SMILE’25 turut menganjurkan Pertandingan Poster Infografik Antibuli yang dilaksanakan secara dalam talian dengan penyertaan lebih 100 orang peserta daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh Malaysia.

Pertandingan ini menyaksikan persaingan sengit apabila tempat pertama berjaya dirangkul oleh Durrani Fatinah Fadzil Asmat melalui karya visual yang kreatif dan sarat dengan mesej kesedaran.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Nur Afiqah Yasmin Ahmad Zaki, manakala tempat ketiga menjadi milik Muhammad Zakry Zaharudin, mahasiswa dari Universiti Malaysia Kelantan.

Penganjuran pertandingan ini bukan sahaja mencungkil bakat dan kreativiti mahasiswa, malah memperkukuh penyampaian mesej pencegahan buli secara berimpak selari dengan aspirasi pembudayaan empati dalam komuniti kampus.

Siaran langsung forum “Break The Cycle: Henti Buli, Lebihkan Empati” yang menampilkan panel berpengalaman iaitu  Prof. Madya Dr. Mohd Al Adib, Prof. Dato Dr. Andrew dan Harszan.

Penganjuran program ini telah mencetuskan sambutan luar biasa dengan penglibatan aktif pelbagai lapisan masyarakat melalui penyertaan secara dalam talian dan bersemuka.

Siaran langsung di platform TikTok berjaya merekodkan hampir 40,000 tontonan, melibatkan penonton daripada 14 buah negeri di seluruh negara dalam lingkungan umur 18 hingga 40 tahun, sekali gus membuktikan impak dan capaian nasional program ini.

Program ini turut menerima penyertaan yang sangat memberangsangkan daripada pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lain serta kolej vokasional, menjadikannya platform perkongsian yang inklusif dan merentas institusi.

Antara pengisian yang paling mencuri perhatian ialah aktiviti Wall of Empathy: Pesanan Rahsia Mahasiswa yang memberi ruang selamat kepada pelajar untuk meluahkan perasaan secara anonim, serta forum “Break The Cycle: Henti Buli, Lebihkan Empati” yang membuka wacana bermakna tentang kesan buli dan keperluan membina budaya kampus yang lebih empati dan sejahtera.

Program ini turut dihadiri oleh wakil Unit Uniform KOR SUKSIS Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang hadir bagi mendapatkan input dan pendedahan daripada forum yang dijalankan.

Tambahan, program ini telah menampilkan tiga orang panel berkredibiliti yang terdiri daripada Profesor Madya Dr. Mohd Al Adib Samuri, Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia; Profesor Dato’ Dr. Andrew Mohanraj Chandrasekaran, Presiden Malaysian Mental Health Association merangkap Medical Director AT LES TOISES Malaysia; serta Nurnazrah Abd Samat (Harszan), pempengaruh media sosial yang aktif dalam advokasi empati dan kesejahteraan mental. Dalam sesi perkongsian tersebut, Harszan turut berkongsi pengalaman peribadi pernah menjadi mangsa buli, sekali gus memberi gambaran realiti kesan emosi dan psikologi yang dialami mangsa serta kepentingan sokongan sosial dalam proses pemulihan.

Sementara itu, Profesor Dato’ Dr. Andrew menegaskan bahawa “bentuk buli yang paling dominan pada masa kini ialah buli siber. Semua mangsa buli perlu mengambil langkah pencegahan dengan membuat tangkap layar (screenshot) mesej atau kandungan berkaitan sebagai bukti dan seterusnya melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab,” ujar beliau.

Selain itu, Profesor Madya Dr. Mohd Al Adib Samuri turut menekankan bahawa pelajar yang menjadi mangsa buli tidak seharusnya berdiam diri, sebaliknya perlu mencari individu yang dipercayai sebagai pendengar seperti ibu bapa, pensyarah, kaunselor atau rakan terdekat.

“Tindakan berkongsi masalah bukan sahaja dapat meringankan tekanan emosi, malah membolehkan bantuan awal diberikan bagi mencegah kesan yang lebih serius terhadap kesejahteraan mental dan perkembangan diri pelajar,” katanya.

Secara kesimpulannya, Program SMILE’25 menjadi platform penting dalam menyatukan suara pelbagai pihak untuk menolak budaya buli serta memupuk nilai empati dalam kalangan mahasiswa. Pendekatan interaktif dan penglibatan panel berpengaruh menjadikan program ini relevan dengan realiti semasa, sekali gus memberi impak positif dalam membentuk mahasiswa yang lebih prihatin, berani bersuara dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan komuniti kampus.