Oleh: Ts. Dr. Afiq Radzwan, En. Wan Zul Adli Wan Mokhtar, Dr. Anis Nazihah Mat Daud, En. Mohd Faisal Mohd Yassin, Nurleesya Afiqah Kamar Mohmad Zakaria, Muhammad Isyraf Firdaus Hassim, Nur Syazwina Athirah Mohd Mazli
Selangor, 21 Disember 2025 – Program Kembara Ilmu Galaksi 2025 (KIG) anjuran Jabatan Fizik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Kelab Rakan Astronomi UPSI (RASTRO), Unit Stargazers UPSI, Jabatan Mufti Selangor, Kelab Astronomi UIAM Gombak serta SpaceIn Malaysia USM telah berjaya dilaksanakan di Balai Cerap Selangor.

Tujuan utama penganjuran program ini adalah untuk memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai pencerapan anak bulan, selaras dengan amalan sains falak dan kepentingannya dalam penentuan takwim Islam. Program ini melibatkan seramai 54 orang peserta yang terdiri daripada 50 orang pelajar dan 4 orang pensyarah pengiring, dengan objektif memperkukuh pembelajaran astronomi melalui gabungan teori dan amali di lapangan.
Program bermula pada jam 1:30 petang dengan sesi pendaftaran peserta di kampus UPSI sebelum rombongan bertolak menaiki dua buah bas ke Balai Cerap Selangor tepat pada jam 2:00 petang. Ketibaan rombongan sekitar jam 3:45 petang disusuli dengan sesi taklimat rasmi yang disampaikan oleh En. Norameen bin Burhanuddin dari Bahagian Falak, Balai Cerap Selangor.


Taklimat tersebut memperkenalkan fungsi dan peranan balai cerap dalam penyelidikan sains falak, selain menekankan kepentingan pencerapan astronomi dalam konteks pendidikan serta penentuan takwim Islam. Seterusnya, pada jam 4:00 petang, program diteruskan dengan sesi pembelajaran dan penerangan di bilik kuliah yang memfokuskan kepada dua topik utama, iaitu pencerapan anak bulan dan pencerapan objek langit waktu malam.
Sesi ini disampaikan secara interaktif bagi membantu pelajar memahami konsep fasa bulan, pergerakan relatif Matahari–Bumi–Bulan serta asas kaedah cerapan falak moden. Bagi menambah elemen keseronokan dan penglibatan aktif, satu pertandingan Quizizz Astronomi turut dianjurkan bagi menguji kefahaman peserta.


Dari sudut astronomi, pencerapan anak bulan (hilal) merupakan satu proses yang kompleks dan mencabar. Anak bulan berada pada fasa yang sangat awal selepas ijtimak, menyebabkan ia kelihatan amat nipis dan malap dengan kecerahan yang rendah.
Kedudukannya yang hampir dengan Matahari menjadikan tempoh cerapan sangat singkat, lazimnya hanya beberapa minit selepas matahari terbenam. Keadaan atmosfera seperti awan nipis, jerebu, ketelusan udara dan pencemaran cahaya turut mempengaruhi kebolehlihatan anak bulan. Oleh itu, pencerapan hilal memerlukan perancangan rapi, masa yang tepat serta penggunaan peralatan optik yang sesuai.
Dalam program ini, dua buah teleskop telah dibawa dan digunakan khusus untuk aktiviti pencerapan anak bulan Rejab. Teleskop berfungsi dengan mengumpul lebih banyak cahaya dan membesarkan imej objek langit, sekali gus membantu mengesan anak bulan yang sukar dilihat dengan mata kasar.


Melalui aktiviti ini, para pelajar diberi pendedahan secara langsung tentang asas penggunaan teleskop, termasuk teknik penjajaran (alignment), pelarasan fokus serta kaedah mengenal pasti objek langit berhampiran ufuk barat. Pengalaman ini membolehkan pelajar memahami bahawa pencerapan falak bukan sekadar teori, tetapi memerlukan kemahiran pemerhatian, ketelitian dan kesabaran yang tinggi.
Pada jam 5:30 petang, peserta diberikan masa untuk berehat, menunaikan solat Asar dan menikmati minum petang. Program diteruskan dengan lawatan sekitar kawasan dan bangunan Balai Cerap Selangor pada jam 6:15 petang, di mana peserta diperkenalkan kepada pelbagai peralatan pencerapan astronomi serta fungsi setiap instrumen oleh pembimbing yang berpengalaman.


Kemuncak program berlangsung antara jam 6:50 petang hingga 7:40 malam apabila para peserta terlibat secara langsung dalam aktiviti pencerapan anak bulan Rejab serta pencerapan objek langit waktu malam.
Dengan bimbingan ahli Stargazers UPSI, iaitu En. Wan Zul Adli Wan Mokhtar dan En. Mohd Faisal Mohd Yassin, bersama pihak Balai Cerap Selangor, para pelajar berpeluang merasai sendiri cabaran sebenar pencerapan falak serta mengaitkan pengetahuan teori yang dipelajari dengan amalan pencerapan di lapangan.
Selepas aktiviti cerapan, peserta menunaikan solat Maghrib dan Isyak sebelum menikmati makan malam bersama penganjur pada jam 8:20 malam. Program diakhiri dengan sesi bergambar dan bersurai sekitar jam 8:50 malam sebelum rombongan bertolak pulang ke UPSI pada jam 9:00 malam dan selamat tiba sekitar jam 1:00 pagi.


Menurut Penasihat Kelab Rakan Astronomi UPSI, Ts. Dr. Afiq Radzwan, program seperti Kembara Ilmu Galaksi sangat berkesan dalam menghubungkan teori dan amali, di samping menyemai minat mendalam terhadap astronomi dalam kalangan pelajar.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan serta menyokong SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan aspirasi BITARA 2.0 UPSI dalam melahirkan graduan yang holistik, berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. Program seumpama ini wajar diteruskan sebagai inisiatif pendidikan berimpak tinggi dalam memperkukuh budaya sains dan literasi astronomi di UPSI.
