Oleh: Aniqah Annuar
ULU KINTA, 27 Disember 2025 – Warga emas merupakan golongan yang wajar dihargai dan disantuni kerana mereka adalah khazanah pengalaman serta sejarah dalam masyarakat.
Menyedari hakikat tersebut, mahasiswa kursus CPR 2011 Pembimbing Rakan Sebaya Kumpulan A dgn kerjasama Pusat Ko-Kurikulum UPSI telah menganjurkan satu program khidmat komuniti di Rumah Seri Kenangan, Ulu Kinta sebagai usaha menyemai nilai kemanusiaan, kasih sayang, dan kepedulian sosial.
Penganjuran program ini merupakan hasil sokongan berterusan Pusat Ko-Kurikulum UPSI dalam memperkasa pembelajaran berasaskan pengalaman serta pembentukan sahsiah mahasiswa.
Kerjasama ini bukan sahaja memastikan kelancaran pelaksanaan program, malah menjadi platform penting dalam menyemai nilai kemanusiaan, kasih sayang dan kepedulian sosial dalam kalangan mahasiswa.
Program yang mengangkat tema “Sekecil Sentuhan, Sebesar Erti Kasih” ini bertujuan memberi sokongan emosi dan sosial kepada warga emas, di samping membuka ruang interaksi bermakna antara generasi muda dan golongan berusia.


Melalui pelaksanaan program ini, para peserta bukan sahaja dapat memahami realiti kehidupan warga emas, malah diasuh untuk menghayati nilai empati dan toleransi.
Pengarah Program, Syahriz Haiqal Syaiful Rizal, dalam ucapannya menekankan bahawa objektif utama program ini melampaui sekadar memenuhi tuntutan akademik.
“Kami mahu setiap mahasiswa pulang dengan sekeping hati yang lebih lembut. Melalui tema ‘Sekecil Sentuhan, Sebesar Erti Kasih’, kami sedar bahawa perkara yang kita anggap remeh seperti mendengar luahan hati mereka sebenarnya memberi impak emosi yang sangat mendalam kepada penghuni di sini. Ia adalah soal kemanusiaanyang perlu dihargai” .
Pelbagai aktiviti interaktif telah dirancang bagi menceriakan suasana. Program dimulakan dengan slot Ice Breaking bagi mewujudkan kemesraan, disusuli dengan Slot Kisah Hidupku.
Dalam slot ini, warga emas diberi peluang berkongsi memori dan perjuangan hidup mereka yang menyentuh perasaan para peserta.
Menurut tenaga pengajar Kursus Pembimbing Rakan Sebaya, Dr. Che Anuar Che Abdullah, program bersama warga emas ini diharapkan dapat melahirkan rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar PRS di samping membentuk mahasiswa yang prihatin, berempati dan peka terhadap keperluan masyarakat.
Beliau turut menekankan bahawa penglibatan secara langsung dalam aktiviti khidmat komuniti mampu memberikan pengalaman bermakna serta memperkukuh nilai kemanusiaan dalam diri para pelajar.
Muhammad Aidil Arfan Othman yang turut hadir memantau program tersebut menyatakan rasa bangga terhadap transformasi sahsiah yang ditunjukkan oleh para pelajar.
“Pembelajaran yang paling berkesan bukanlah di dalam dewan kuliah, tetapi apabila mahasiswa turun ke padang dan berinteraksi dengan masyarakat. Saya melihat mereka mempraktikkan kemahiran mendengar dan empati secara natural. Inilah matlamat kita melahirkan graduan yang bukan sahaja bijak intelek, malah mempunyai kecerdasan emosi dan keprihatinan sosial yang tinggi,” jelas beliau.


Suasana semakin ceria melalui Slot Kasih di Meja Permainan yang merangsang kognitif warga emas, serta Slot Kasih Sama Membersih yang menekankan semangat gotong-royong.
Kemuncak program, Slot Kilauan Emas, menjadi simbol penghargaan kepada penghuni dengan persembahan ringkas dan penyampaian cenderahati yang mengukir senyuman di wajah mereka.
Secara keseluruhannya, program ini menjadi medan pembelajaran berharga kepada mahasiswa dalam membentuk sahsiah dan semangat kesukarelawanan. Usaha murni ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan demi memupuk masyarakat yang lebih penyayang dan berjiwa besar.
