Oleh: Norsamsinar Samsudin dan Norasibah Abdul Jalil

Batang Kali, Selangor – Usaha memperkasa keusahawanan mikro melalui teknologi kecerdasan buatan (AI) terus diperkukuh apabila Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berjaya melaksanakan Program Pemindahan Ilmu Keusahawanan Digital: AI dalam Pembangunan Konten Kreatif Pemasaran menerusi modul inovatif bertajuk “Konten Padu, Jualan Lajuuuu”.

Program yang berlangsung di The Space, Batang Kali ini melibatkan penyertaan seramai 45 orang peserta, terdiri daripada Sahabat AIM, staf AIM dan wakil UPSI. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan keupayaan usahawan mikro, khususnya golongan B40 dan usahawan wanita luar bandar dalam menghasilkan kandungan pemasaran digital yang kreatif, kos rendah dan berimpak tinggi terhadap penjanaan jualan.

Sepanjang program, peserta didedahkan kepada penggunaan AI seperti ChatGPT untuk penulisan ayat promosi, Canva dan AI untuk reka bentuk visual, serta teknik fotografi dan penyuntingan menggunakan telefon pintar. Pendekatan latihan secara praktikal ini membolehkan peserta menghasilkan bahan pemasaran digital yang lebih menarik, profesional dan konsisten.

Menurut Dr. Norsamsinar Samsudin, selaku Ketua Program Pemindahan Ilmu Keusahawanan, program ini dirangka sebagai satu inisiatif pemindahan ilmu yang berimpak tinggi dan mampan. Objektif utama program ini bukan sekadar memperkenalkan teknologi AI, tetapi memastikan usahawan mikro benar-benar mampu mengaplikasikan kemahiran tersebut dalam perniagaan harian mereka.

Modul ‘Konten Padu, Jualan Lajuuuu’ dibangunkan secara langkah demi langkah agar peserta boleh terus menghasilkan konten pemasaran yang efektif walaupun dengan sumber dan bajet yang terhad,”

Beliau turut menegaskan bahawa kolaborasi antara UPSI dan AIM membuktikan peranan universiti sebagai pemangkin pembangunan komuniti melalui pemindahan ilmu yang bersifat praktikal dan berorientasikan keperluan sebenar masyarakat.

Penyataan ini disokong oleh Puan Nor Atiqah Binti Hashim, Penolong Pengurus Cawangan AIM Cawangan Hulu Selangor / Tanjung Malim yang berpendapat program ini memberi nilai tambah yang besar kepada usahawan kecil AIM. Menurut beliau lagi;

“Latihan berasaskan AI ini sangat relevan dengan keperluan semasa usahawan mikro. Ramai peserta sebelum ini kurang yakin menggunakan teknologi digital, namun melalui modul yang praktikal dan mudah difahami ini, mereka kini lebih berani menghasilkan konten sendiri untuk memasarkan produk. Pendekatan hands-on yang digunakan membantu peserta terus mempraktikkan ilmu tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak luar,” jelas beliau.

Melihat kepada impak positif program, pihak penganjur merancang untuk memperluaskan pelaksanaan modul ini ke pusat-pusat AIM lain serta membangunkan kursus lanjutan yang memfokuskan kepada strategi pemasaran digital dan penggunaan AI pada tahap yang lebih tinggi.

Inisiatif ini menyokong aspirasi Malaysia MADANI dengan memperkasa usahawan mikro melalui pembangunan keupayaan digital, penguasaan teknologi dan amalan keusahawanan beretika.

Dr. Norsamsinar Samsudin
Ketua Program Pemindahan Ilmu Keusahawanan
Puan Nor Atiqah Binti Hashim,
Penolong Pengurus Cawangan AIM Cawangan Hulu Selangor / Tanjung Malim,

Pendekatan inklusif dan mampan ini berupaya merapatkan jurang sosioekonomi, meningkatkan daya saing komuniti, serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang seimbang, berdaya tahan dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.