Sesi bergambar Delegasi FPE UPSI dan FBESD UMTSesi bergambar Delegasi FPE UPSI dan FBESD UMT

Oleh: Mohamad Hafiz Rosli, Mohd Faizal Basri, Hazianti Abdul Halim, dan Mohd Danial Afiq Khamar Tazilah

Kuala Nerus – Satu sesi lawatan penanda aras telah diadakan oleh Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FBESD), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada 26 Januari 2026 bagi mendapatkan pendedahan serta perkongsian amalan terbaik berkaitan pelaksanaan Teaching Accounting Firm (TAF).

Program TAF–UMT merupakan antara yang terawal dilaksanakan di Malaysia dan telah berjaya melatih ratusan pelajar perakaunan sejak diperkenalkan pada tahun 2016.

Program ini menyediakan persekitaran pembelajaran berasaskan industri sebenar kepada pelajar perakaunan melalui kerjasama strategik bersama firma profesional Salihin Chartered Accountants.

Perbincangan bersama pihak Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FBESD), Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Perbincangan bersama pihak Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FBESD), Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha strategik FPE dalam rangka kerja penubuhan Strategic Business Unit (SBU), di mana salah satu agenda adalah pembangunan TAF@UPSI bagi memperkukuh pendekatan pembelajaran berasaskan amalan dan pengalaman industri sebenar dalam bidang perakaunan.

Inisiatif ini juga selari dengan keperluan industri dalam melahirkan graduan yang memiliki kemahiran profesional, kompetensi teknikal serta pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar.

Pelaksanaan TAF memfokuskan kepada penyediaan persekitaran pembelajaran berasaskan industri sebenar kepada pelajar perakaunan.

Melalui program ini, pelajar berpeluang menjalani latihan praktikal seawal tahun kedua pengajian. Pelajar turut mengikuti beberapa kursus berkaitan audit, perakaunan dan percukaian, yang mengintegrasikan pembelajaran teori dengan pengalaman praktikal di bawah bimbingan pensyarah serta pakar industri.

Pendekatan ini secara tidak langsung membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan serta melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang selari dengan keperluan profesion perakaunan.

Lawatan tersebut telah disambut oleh Profesor Madya Dr. Azwadi Ali, Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), dan turut disertai oleh barisan pengurusan yang terlibat secara langsung dalam pengurusan serta pelaksanaan TAF–UMT, iaitu Profesor Madya Dr. Akmalia Mohamad Arif (Penyelaras TAF), Dr. Norazlina Ilias (Ketua Program ISM Perakaunan), Profesor Madya Dr. Mohd Nazli Mohd Nor, dan Puan Zaira Aniza Samsudin.

Manakala delegasi FPE, UPSI yang hadir terdiri daripada Profesor Madya Dr. Mohd Faizal Basri (Ketua Jabatan Perakaunan dan Kewangan), Profesor Madya Dr. Hazianti Abdul Halim, Dr. Mohamad Hafiz Rosli, dan Dr. Mohd Danial Afiq Khamar Tazilah.

Sepanjang lawatan tersebut, delegasi UPSI telah diberikan taklimat komprehensif mengenai konsep, struktur operasi, model kolaborasi industri serta pelaksanaan aktiviti pembelajaran dalam TAF–UMT.

Delegasi juga berpeluang meninjau fasiliti dan operasi TAF yang berfungsi sebagai platform pembelajaran praktikal bagi pelajar perakaunan.

Selain perkongsian berkaitan pelaksanaan program, sesi perbincangan dua hala turut memberi tumpuan kepada potensi kerjasama akademik dan penyelidikan antara kedua-dua institusi.

Lawatan ke Fasiliti TAF–UMT
Penyampaian Cenderamata kepada Wakil Dekan FBESD, Profesor Madya Dr. Azwadi Ali, Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) oleh Profesor Madya Dr. Mohd Faizal Basri (Ketua Jabatan Perakaunan dan Kewangan)
 

Antara perkara yang dibincangkan termasuk peluang projek penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah berkaitan pendidikan perakaunan dan experiential learning, serta potensi permohonan geran penyelidikan yang melibatkan kolaborasi universiti dan industri.

Secara keseluruhannya, lawatan penanda aras ini diharapkan dapat memberi panduan kepada pihak FPE, UPSI dalam merangka pelaksanaan TAF@UPSI yang lebih sistematik dan berimpak tinggi.

Di samping itu, lawatan ini turut membuka ruang kepada pengukuhan kolaborasi akademik, penyelidikan, penerbitan serta hubungan industri antara UPSI dan UMT dalam usaha memperkasa pendidikan perakaunan serta melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan memenuhi keperluan profesion pada masa hadapan.