Oleh Wan Nur Izzah Binti Wan Roslan & Dr Ahmad Saufiyyan Bin Abu Hassan
TANJUNG MALIM — Pementasan teater tradisional Mek Mulung “Afrot” yang telah berlangsung pada 9 dan 10 Januari 2026 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah di Bandar Proton, Tanjung Malim berjaya menarik perhatian penonton, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Pementasan ini telah dihadiri oleh YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama isteri, YBhg. Dato’ Mohd Yusri bin Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, YBrs. Prof. Suriani Abu Bakar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), serta YBrs. Encik Rosnan bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Pementasan Mek Mulung “Afrot ” mengisahkan tentang konflik, kepercayaan serta nilai kehidupan masyarakat Melayu tradisional yang dismpaikan melalui gabungan lakonan, nyanyian, tarian dan iringan muzik tradisional. Persembahan ini menonjolkan keunikan seni
tradisional yang kaya dengan elemen budaya, dan estetika masyarakat Melayu, ini sekaligus memberi pengalaman yang bermakna kepada penonton.
Berdasarkan ulasan penonton, pementasan tersebut disifatkan sebagai menarik dan menghiburkan, selain berjaya dalam menggabungkan elemen moden seperti sisipan jenaka berkaitan dengan lagu semasa. Pendekatan ini dilihat sebagai usaha dalam menjadikan pementasan tersebut dekat dengan citarasa generasi muda tanpa menjejaskan keasliannya.
Pementasan ini dianjurkan sebagai usaha untuk memperkenalkan dan melestarikan seni warisan tempatan kepada masyarakat, khususnya golongan muda. Penganjuran di institusi pendidikan seperti UPSI dilihat sebagai medium yang berkesan dalam mendidik generasi muda untuk menghargai seni budaya tradisioanl yang kurang dipersembahkan.
Pengiktirafan UNESCO pada tahun 2023 terhadap Mek Mulung sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara yang Memerlukan Perlindungan Segera membuktikan kepentingannya dalam memperkukuhkan identity dan warisan budaya negara.
Secara keseluruhannya, pementasan Mek Mulung “Afrot” bukan sahaja berjaya menghidupkan kembali seni tradisional malah menjadi usaha dalam memastikan warisan budaya bangsa terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.
