TANJUNG MALIM, 14 Januari 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Bahagian Perundangan telah menyempurnakan urusan tuntutan pampasan insurans bagi sembilan daripada 15 pelajar yang terkorban dalam tragedi kemalangan bas di Gerik pada 2025.

UPSI dalam satu kenyataan memaklumkan, urusan kebajikan dan tuntutan tersebut dipermudah melalui kerjasama strategik bersama firma guaman Tetuan Rao & Kamal yang dilantik oleh waris terlibat bagi memastikan hak setiap keluarga mangsa terpelihara.

Menurut kenyataan itu, beberapa sesi pertemuan bersama waris turut diadakan bukan sahaja bagi menyelaras proses tuntutan, malah sebagai platform sokongan moral kepada keluarga yang terkesan dengan tragedi berkenaan.

“Pertemuan ini secara tidak langsung mengeratkan ukhuwah antara keluarga mangsa dan warga universiti, sekali gus membentuk jaringan sokongan yang bermakna dalam menghadapi saat sukar,” menurut kenyataan itu.

UPSI turut menegaskan komitmen universiti untuk terus bersama waris pelajar terlibat dan memastikan mereka merasakan kehadiran institusi itu sebagai sebahagian daripada keluarga besar UPSI.

Dalam pada itu, pertemuan berkenaan turut memberi ruang kepada warga Bahagian Perundangan UPSI untuk meneladani keperibadian murni para pelajar serta menyelami kecekalan luar biasa yang ditunjukkan oleh keluarga mangsa dalam menghadapi ujian berkenaan.

UPSI turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan mendoakan agar roh pelajar yang terkorban dicucuri rahmat Allah SWT, manakala mereka yang tercedera diberikan kesembuhan serta kekuatan berpanjangan.