Oleh: Nur Farihah Mohd Fadullah Sahimi

Putrajaya, 04 Mac 2024 – Buat julung kalinya telah berlangsung dengan jayanya Bengkel Penyelarasan Pemantapan Fungsi Teras dan Portfolio yang menghubungkan tiga Pusat Tanggungjawab (PTj), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) iaitu Bahagian Perundangan, Bahagian Audit Dalam dan Unit Integriti bagi menyelaras peranan dan tanggungjawab ketiga-tiga PTj yang saling berkaitan dalam pemantapan tatakelola universiti dengan mengambil kira risiko dan isu-isu yang berlaku di setiap PTj.

Bengkel ini juga merupakan salah satu pendekatan bagi merapatkan ukhuwah antara ketiga-tiga PTj selaras dengan amanat Naib Canselor berkaitan dengan penerapan nilai 5K iaitu Kekeluargaan, Kasih Sayang, Keseronokan, Kreativiti dan Kesegaraan bagi melonjakkan kecemerlangan UPSI. Ianya ditonjolkan dengan aktiviti sidang bersama dengan ketiga-tiga PTj iaitu sesi perkongsian dan perbincangan mengenai amalan terbaik yang boleh dilaksanakan bagi memacu universiti sebagai universiti pendidikan.

Bengkel yang diadakan di Park Inn by Radisson Putrajaya ini telah dirasmikan oleh Penasihat Undang-undang (PUU) UPSI, Salwati Mohd Aris. Menurutnya, walaupun ketiga-tiga PTj mempunyai tugas dan tanggungjawab yang berbeza dari sudut skop dan proses kerja, namun peranan ketiga-tiga PTj ini adalah sama iaitu sebagai ‘safety net’ yang bertanggungjawab dalam memastikan hala tuju universiti dilaksanakan dengan cara yang betul.

Bahagian Perundangan
Bahagian Audit Dalam
Bahagian Integriti

Pengisian bengkel hari pertama adalah sesi perkongsian mengenai risiko audit yang disampaikan oleh Pegawai Audit Dalam, perkongsian berkaitan dengan statistik kes tatatertib kakitangan dan pelajar yang boleh dijadikan iktibar daripada Penasihat Undang-undang serta perkongsian fungsi teras unit integriti yang disampaikan oleh Ketua Unit Integriti. Manakala hari kedua pengisian bengkel lebih kepada perbincangan dan mesyuarat PTj masing-masing dan pada hari terakhir, resolusi bengkel keseluruhan telah disampaikan oleh Ketua Unit Integriti berkaitan dengan Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional selaras dengan Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2023.

Hasil bengkel yang dilaksanakan selama 3 hari 2 malam ini, satu resolusi telah digubal untuk dibincangkan dan diangkat ke peringkat pengurusan tertinggi bagi tujuan perbincangan lanjut bagi mencapai keputusan yang terbaik dalam pengamalan tatakelola terbaik universiti.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)