Oleh: Nur Farihah Mohd Fadullah Sahimi
UPSI, Tanjong Malim- Seramai 10 orang pegawai tadbir fakulti telah hadir dalam sesi Meet and Greet Unit Integriti bersama Pegawai Tadbir Fakulti yang telah berlangsung dengan jayanya pada 21 Februari di Bilik Smart Classroom, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Meet and greet ini adalah kesinambungan dari sesi sembang santai yang telah berjaya dilaksanakan sebanyak tiga siri pada tahun 2023 dan tahun ini adalah siri keempat dengan kumpulan fokus yang berbeza.
Sembang Santai yang telah dilaksanakan pada tahun 2023 berfokuskan kepada kumpulan pelaksana universiti yang terdiri daripada setiausaha, pembantu tadbir (perkeranian dan operasi) serta pembantu tadbir kewangan. Tahun ini perancangan pelaksanaan sesi sembang santai kebanyakannya berfokuskan kepada kumpulan Pengurusan dan Profesional dan telah dimulai dengan sesi meet and greet bersama kumpulan Pegawai Tadbir di Fakulti.
Pegawai Tadbir atau lebih dikenali sebagai Penolong Pendaftar di universiti mempunyai peranan yang besar sebagai pegawai pengurus dan pentadbir bagi keseluruhan aspek pentadbiran dan pengurusan. Penolong Pendaftar bertanggungjawab sebagai wakil pendaftar di Pusat Tanggungjawab (PTj) untuk memberi nasihat kepada Dekan/pengarah/ketua bahagian/ketua unit dalam semua perkara yang berkaitan dengan Akta/Statut, Dasar, Polisi dan Peraturan/Pekeliling.
Justeru, meet and greet ini diadakan sebagai salah satu pendekatan Unit Integriti untuk mengenali dengan lebih mendalam peranan Penolong Pendaftar fakulti di samping mengetahui isu/permasalahan yang timbul di fakulti serta mendapatkan pandangan dalam kalangan Penolong Pendaftar mengenai isu-isu tadbir urus dalam memastikan tatakelola terbaik dilaksanakan di UPSI selaras dengan mandat YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2023.
Program meet and greet ini telah dimulakan dengan perkongsian daripada Ketua Unit Integriti berkaitan dengan pengurusan fail dan rekod, pengurusan dan pengendalian aduan, pengenalan Jawatankuasa Teras Gangguan Seksual (JKTGS), peranan dan tanggungjawab Pegawai Tadbir di fakulti, pengenalan Pelan Anti Rasuah (OACP) UPSI dan tatacara pengurusan penerimaan hadiah.
Program ini disambut baik oleh semua pegawai tadbir fakulti dengan response yang sangat positif. Banyak isu yang telah dilontarkan oleh Pegawai Tadbir fakulti beserta dengan cadangan penambahbaikan yang akan diangkat untuk dibentang dan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatakekola (JTK) peringkat universiti.
Semoga dengan penganjuran program meet and greet bersama pegawai tadbir ini dapat membina ukhuwah yang baik antara Unit Integriti dan pegawai tadbir fakulti dalam mencapai matlamat, visi dan misi universiti dengan memastikan tatakelola terbaik dilaksanakan di setiap peringkat.