Oleh: Syed Ahmad Omar Syed Satri, Penolong Pendaftar Bahagian Perundangan

Tanjong Malim, 6 Ogos 2024 – Buat pertama kalinya, Bahagian Perundangan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Bengkel Pendrafan Paten UPSI 2024, yang berlangsung dengan jayanya selama dua hari pada 5 dan 6 Ogos 2024 di Scholars’ Suites, Tanjong Malim, Perak. Bengkel ini merupakan satu bengkel latihan praktikal yang memberi tumpuan kepada teknik penyediaan tuntutan paten yang berkesan kepada peserta.

Bengkel ini disertai oleh peserta-peserta dari pelbagai jabatan dari beberapa universiti awam seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Secara keseluruhan, seramai sembilan peserta telah mengambil bahagian, dengan seorang wakil dari UM, tiga dari USAS, seorang dari UMPSA, dan empat lagi dari pelbagai fakulti di UPSI.

Tujuan utama bengkel ini dianjurkan adalah untuk meningkatkan pengetahuan penyelidik dalam pendrafan paten seterusnya membolehkan mereka merancang penyelidikan dengan matlamat untuk memperoleh paten.

Dua pegawai pemeriksa paten dari Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah dijemput untuk mengendalikan bengkel ini dan memberikan panduan dan latihan secara langsung kepada peserta. Dalam ucapan penutupnya, Penasihat Undang-Undang UPSI, Puan Salwati Mohd Aris, berharap agar bengkel ini telah memberi manfaat kepada para peserta. Beliau turut menyatakan hasrat untuk menjadikan bengkel ini sebagai acara tahunan bagi UPSI.

Hasil dari penganjuran bengkel ini, diharapkan penyelidik-penyelidik UPSI terutamanya akan lebih memahami proses pendrafan paten dan seterusnya dapat meningkatkan peluang hasil penyelidikan mereka untuk dianugerahkan dengan sijil paten sejajar dengan hasrat universiti untuk meningkatkan lagi jumlah harta intelek dimiliki UPSI dan menarik minat industri untuk meneroka peluang pengkomersialan bersama UPSI.

Bahagian Perundangan UPSI juga merakamkan jutaan terimakasih kepada pengurusan tertinggi Universiti Pendidikan Sultan Idris, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) UPSI dan juga UPSI Holdings Sdn. Bhd. (Scholars’ Suites) yang telah memberikan sokongan untuk menjayakan bengkel ini.