Oleh: Nur Sabrina, Suriati

Ho Chi Minh City – 10 Ogos 2024, Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mengadakan satu delegasi ilmu ke Ho Chi Minh City University of Technology and Education (HCMUTE) melalui kerjasama Education Malaysia Vietnam and Office of International Affairs.

Tujuan utama lawatan ini dijalankan adalah untuk memperluaskan jaringan antara dua buah institusi yang bertaraf antarabangsa dalam bidang pendidikan dan sosial. Delegasi ilmu yang dijalankan ini juga merupakan medium perhubungan melalui perbincangan antara dua buah institusi pendidikan iaitu UPSI, Malaysia bersama HCMUTE, Vietnam ke arah membentuk satu jaringan yang lebih meluas dengan menjadikan UPSI lebih dikenali di seluruh dunia. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KHAR untuk memupuk hubungan antarabangsa dan memperluas cakrawala pendidikan serta budaya.

Seramai 39 orang peserta yang merupakan MMKHAR, UPSI bersama pihak pengurusan kolej yang diketuai oleh Dr Haji Che Anuar bin Che Abdullah bersama-sama dalam delegasi ke HCMUTE, Vietnam. Antara pengisian utama pelaksanaan program ini adalah untuk memberi peluang dan ruang kepada para peserta program sama ada dari UPSI ataupun HCMUTE untuk bertukar pandangan, saling berinteraksi dan memahami amalan budaya pendidikan yang diterapkan di HCMUTE dan UPSI.

Selaku Pengetua KHAR yang merangkap ketua delegasi ini, Dr Haji Che Anuar bin Che Abdullah berkata delegasi ini merupakan salah satu inisiatif yang murni dalam menjalin hubungan baik antara dua buah negara pada masa sama dapat memupuk nilai profesionalisme dalam pendidikan dalam kalangan peserta program. “Kami sangat teruja dengan peluang untuk bekerjasama dengan University of Technology and Education. Pertukaran ini bukan sahaja memperkaya pengalaman akademik dan budaya pelajar kami tetapi juga memperkukuh hubungan antara dua institusi pendidikan yang terkemuka. Kami berharap ini akan menjadi langkah awal bagi lebih banyak kolaborasi di masa hadapan.”

Selain daripada itu, program ini juga dapat memberi pengalaman melalui platform pembelajaran secara langsung kepada peserta program melalui pendedahan termasuk inovasi dalam teknologi pendidikan, kaedah pengajaran terkini, fasiliti serta infrastruktur dan sumber pembelajaran yang responsif dalam menyokong pendidikan mahasiswa/i universitì. Sesi ini memberi peluang kepada peserta untuk bertukar pandangan dan pengetahuan dalam usaha memperbaiki sistem pendidikan di kedua-dua negara.

Lawatan ini telah disambut dengan hangat oleh pihak HCMUTE, yang turut berbangga dengan peluang untuk bekerjasama dengan KHAR. Dr Tran Quang Tri, Timbalan Pengarah Office of International Affairs menyatakan hasrat untuk menjalinkan hubungan kerjasama antara kedua-dua institusi ke peringkat antarabangsa pada masa akan datang. Selain itu, turut hadir bersama felo penasihat program Global Outreach UPSI to Vietnam iaitu Puan Norrulkamari binti Daud dan juga Puan Suriati binti Ismail bersama-sama dengan peserta delegasi. Menurut penasihat program, apa yang diharapkan dalam program ini dapat memberi banyak manfaat dan pengalaman yang berguna kepada para peserta program khususnya mahasiswa/i serta dalam menjadikan UPSI sebuah universiti yang sangat dikenali di serata dunia melalui hubungan kolaborasi antara dua institusi pendidikan yang terkemuka.

Tuntasnya, delegasi ilmu ini merupakan satu langkah yang proaktif dalam memperluaskan pengetahuan dan pengalaman mahasiswa/i dalam memperkukuh pendidikan melalui hubungan antarabangsa institusi pendidikan. Lawatan ini juga merupakan satu kejayaan besar dan menjadi asas bagi banyak lagi inisiatif kolaborasi di masa depan. KHAR dan HCMUTE komited untuk meneruskan usaha ini demi memajukan pendidikan dan memahami antara satu sama lain dengan lebih mendalam.